Dr. Masliha Harun.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengakuan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa bahawa hasrat kementerian mahu mengambil lebih ramai doktor tersekat kerana tiada peruntukan membuktikan polisi dan dasar zaman Barisan Nasional (BN) masih terbaik.

Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr. Masliha Harun berkata, semua pihak perlu memahami keadaan yang sedang dialami negara.

Jelas beliau, untuk meningkatkan kualiti sistem kesihatan negara semestinya memerlukan peruntukan yang mencukupi.

Katanya, negara telah melalui zaman pandemik Covid-19 dan hutang negara juga telah mencecah hampir RM1.5 trillion.

“Dulu zaman BN memperkenalkan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), mungkin tindakan tidak populis tapi kita diasak digunakan ia sebagai senjata politik kononnya menekan rakyat.

“Walhal cukai yang diambil dari orang sepatutnya dan akan diagihkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Itu sebenarnya fungsi GST satu sistem yang telus dan boleh mengelakkan black economy.

“Kini, negara kekurangan new income dan revenue, akhirnya menteri mengaku kita tidak boleh menambah doktor kerana tiada peruntukan,” kata Masliha di media sosial.

Justeru menurut beliau, ramai sudah membuka mata dan sedar bahawa polisi dan dasar zaman BN masih terbaik.

Beliau yang juga doktor perubatan dan membuka klinik berkata, penamatan doktor kontrak dan ramai lagi yang masih belum mendapat tempat boleh menyebabkan kualiti sistem kesihatan akan merosot.

“Kita doakan yang terbaik, semoga Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dapat mencari solusi yang terbaik bagi sistem kesihatan kita.

“Dan membantu doktor-doktor kontrak ini. Jika tidak pasti yang akan terkesan adalah rakyat,” kata beliau yang akan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO pada pemilihan yang sedang berlangsung.

Menteri Kesihatan dalam sidang Parlimen pada Rabu lalu berkata, jika boleh kementerian mahu menyerap semua kakitangan kesihatan termasuk doktor yang berkhidmat bukan secara tetap menjadi kakitangan awam.

Bagaimanapun menurut Dr. Zaliha, ada kekangan iaitu ketiadaan dana untuk melakukan pengambilan tersebut serta keterbatasan perjawatan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, langkah mengambil pekerja terbabit sebagai pegawai tetap perlu dibuat bagi menangani kekangan kakitangan kesihatan di negara ini.- MalaysiaGazette