KULAI – Wanita Perikatan Nasional (PN) Johor akan membuat laporan polis sekiranya Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus dijadikan sasaran fitnah isu salah guna kuasa.
Ketuanya, Datuk Azlinda Abd Latif berkata, tindakan itu juga akan diselaraskan di seluruh negara dan gelombang tersebut yang dimulakan di Johor.
“Saya percaya SPRM menjalankan tugas seperti yang diamanahkan. Sememangnya fitnah ini perlu dihentikan kerana terdapat juga laporan perbelanjaan mewah oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Tidak keterlaluan juga jika kami meminta agar SPRM menyiasat semua parti yang bertanding semasa PRU-15.
“Laporan tersebut telah dihantar ke SPRM pada minggu lalu. Kita harap ada perkembangan terhadap laporan tersebut. Jika hendak siasat, siasat lah kesemua parti politik yang bertanding pada PRU15, bukan Bersatu sahaja.
“Oleh itu sebagai ahli parti, kita merasakan ia tidak adil kepada pucuk pimpinan. Kami tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis,” katanya pada sidang akhbar Wanita PN Johor di Bilik Gerakan PN negeri di sini petang tadi.
Sementara itu beliau ketika diminta mengulas mengenai dana Bersatu yang masih dibeku, Azlinda berkata perkara itu tidak menghalang Wanita PN bergerak membawa agenda rakyat.
“Realitinya memang sukar, tetapi kami bermula dengan gerakan fisabillah dan infaq. Kami percaya kepada kekuasaan ALLAH, sebab kita bermula sebagai parti fisabillah yang ahli parti menyumbang sendiri,” katanya.
“Sebagai hamba Allah kita sangat redha dengan ketentuan ilahi yang meletakkan Kerajaan PH-BH untuk menjadi kerajaan menerajui negara yang kita cinta. Pada masa sama kita menggesa agar kerajaan yang terbina memfokuskan kepada agenda membangunkan negara.
“Rakyat mahukan Kerajaan PH-BN ini tunaikan manifesto yang dijanjikan ketika PRU-15. Banyak isu ekonomi dan “bread and butter” (sumber pendapatan) yang perlu diselesaikan termasuk isu bekalan keperluan asas yang tidak mencukupi di pasaran, isu kenaikan harga barang dan isu rakyat yang terhimpit dengan kemiskinan yang melanda masa kini,” katanya pada sidang media khas Wanita Perikatan Nasional (PN) Johor di Bilik Gerakan PN Senai petang tadi.
Beliau berkata, dalam manifesto PB-BN yakin tidak ada menyatakan untuk melaksanakan agenda dendam politikatau agenda mencari salah dan menuduh perkara yang tidak berlaku pada kerajaan terdahulu.
Muhyiddin dilaporkan telah memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan membabitkan dana RM300 juta yang diterima oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia. – MalaysiaGazette
Haaahhhhaaaa..time kau fitnah org lain, ko tak ingat dunia..Allah bayar cash!