FLORIDA – Seorang pengumpul seni secara tidak sengaja menghancurkan arca porselin ‘balloon dog’ yang dihasilkan oleh Jeff Koons pada Festival Seni Miami, Khamis lalu.
Arca itu bernilai AS$42,000.
“Saya jelas terkejut dan sedih. Tetapi wanita itu jelas sangat malu dan dia tidak tahu bagaimana untuk meminta maaf.,” kata Cedric Boero, yang menguruskan gerai seni yang mempamerkan arca tersebut
Arca yang pecah berderai itu dipamerkan di gerai Seni Halus Bel-Air, untuk acara eksklusif Art Wynwood, pameran seni kontemporari.
Ia adalah salah satu daripada beberapa arca ‘balloon dog’ oleh Koons, pengkarya anjing belon yang cukup dikenali di seluruh dunia.
Empat tahun lalu, Koons mencipta rekod untuk karya arnab termahal yang dijual semasa lelongan pada harga AS$91.1 juta.
Pada 2013, satu lagi patung anjing belon Koons dijual pada harga AS$58.4 juta.
Arca yang hancur itu, menurut Boero, bernilai AS$24,000 setahun lalu.
Tetapi harganya meningkat apabila karya arca anjing belon lain habis dijual.
Boero berkata, pengumpul seni itu secara tidak sengaja menjatuhkan arca itu ke lantai.
Bunyi arca yang hancur serta-merta menyebabkan galeri seni itu senyap seketika.
“Ia hancur menjadi seribu keping,” menurut Stephen Gamson, seorang artis di Instagram, yang hadir dalam acara itu.
Tambahnya, kejadian itu adalah “salah satu perkara paling gila yang pernah saya lihat”.
“Nasib baik, arca yang mahal itu dilindungi oleh insurans,” ujar Gamson. – Agensi