SPRM ventilator
Muhamad Akmal Salleh

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat ketirisan yang berlaku dalam pembelian ventilator oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2021.

Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2, Kabinet pada 25 Mac 2020 bersetuju untuk memberikan pengecualian kepada KKM di bawah tatacara perolehan Darurat bagi membeli 500 unit ventilator.

Menurut beliau, kerajaan telah membayar sebanyak wang pendahuluan sebanyak RM30 juta kepada pembekal namun syarikat terbabit hanya membekalkan 136 unit ventilator sahaja.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka itu menambah, daripada 136 unit tersebut, hanya 28 ventilator yang boleh digunakan manakala hanya 15 daripada 108 unit yang tidak dapat digunakan boleh diserahkan kepada pengilang untuk mendapatkan ganti rugi.

“Baki yang 93 unit itu tak dapat dipulangkan sebab tiada dokumen perolehan dari KKM kepada syarikat pembekal.

“Pelik bin ajaib, kalau kita beli telur di pasar raya pun kita dapat resit dan sebagainya untuk bukti pembelian, tetapi ini beli ventilator berjuta ringgit nilainya tiada dokumen perolehan langsung?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Menurut LKAN 2021 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Khamis lalu, kerugian yang ditanggung kerajaan akibat masalah berkaitan 93 unit ventilator itu dianggarkan berjumlah RM13.07 juta.

KKM dalam maklum balas kepada Jabatan Audit Negara bertarikh 7 Oktober 2022 menyatakan, kesemua ventilator tersebut telah dicadangkan untuk dilupuskan kepada Pusat Latihan Teknikal bagi tujuan kemahiran dan latihan.

Sehubungan itu, Dr. Muhamad Akmal meminta kerajaan melihat ketirisan yang mengakibatkan lebih RM13 juta wang rakyat dibazirkan begitu sahaja.

“Tidak kira siapa pun yang terlibat waima parti mana sekali pun, jika terbukti bersalah maka tindakan keras perlu diambil terhadap mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rakyat mahu tengok kerajaan hari ni apa tindakkan yang diambil berkaitan isu ventilator yang merugikan duit rakyat,kerajaan sekarang jangan duk sembang aje hebat atau ego terlalu tinggi,apa yang rakyat mahukan sekarang berkaitan duit kwsp dibenarkan pengeluarannya,alasan bantuan sana sini,kerajaan ingat bantuan yang dia bagi tu semua dapat,cuba kerajaan buka mata, ambil serius tentang bantuan yang disalurkan tu,ramai rakyat diluar sana yang betul-betul dapat bantuan tapi bila mohon semuanya ditolak.,sembang pasal rasuah sana sini nampak macam hebat sangat,rupanya kelaut juga nampaknya..

Comments are closed.