KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalinkan kerjasama dengan pusat beli-belah Aeon Big (M) dalam menyemarakkan Program Rahmah.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif itu diharap dapat meringankan beban hidup rakyat dengan pelbagai barangan ditawarkan pada harga lebih rendah.
“Aeon Big tampil kepada KPDN untuk tawarkan 17 barangan asas sama ada makanan serta barang keperluan kepada rakyat dan jika dibanding dengan harga di luar, ia menjimatkan hampir RM25.
“Itu sudah pasti meringankan beban rakyat yang memerlukan sekiranya mereka membeli-belah di Aeon Big. Ada 21 cawangan besar di seluruh negara untuk rakyat menikmati Pakej Rahmah ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Aeon Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, pihaknya sentiasa bersama masyarakat dalam membantu mengharungi kos sara hidup yang tinggi.
Katanya, pelancaran Program Rahmah hari ini merangkumi Jualan Rahmah, Menu Rahmah, Bakul Rahmah dan Pakej Rahmah yang turut bertujuan memastikan sektor ekonomi negara kembali rancak.
“Kita tawarkan 100 produk terpilih yang dijual pada harga lebih rendah dalam Jualan Rahmah. Antaranya ialah beras, minyak masak, makanan proses, peralatan mandian dan pelbagai keperluan asas lain.
“Bagi Menu Rahmah pula kita tawarkan dengan harga RM4.95 sahaja berserta air mineral. Menu ini terdiri daripada ayam, sotong dan ikan,” ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran hari ini.
Selain itu, Aeon Big turut menyediakan Pakej Rahmah iaitu barangan keperluan harian bernilai RM50 yang akan dijual di seluruh cawangan pasar raya tersebut.
Dalam menyahut seruan kerajaan, Aeon Big turut menyumbang Bakul Rahmah kepada 180 keluarga B40 dan miskin tegar yang terdiri dari enam negeri terpilih iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang.
Rentetan itu, Sheikh Farouk berharap usaha berkenaan dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup khususnya golongan rentan yang terpaksa berdepan cabaran ekonomi hari ini. – MalaysiaGazette