@malaysiagazette Seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia 5 tahun nekad dan berani dengan selamba mencuit Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mengatakan hasrat untuk bergambar dengan baginda. #malaysiagazette #mgnews #YDPA
PULAU TIOMAN – Siap tidak teruja apabila melihat sendiri Yang di-Pertuan Agong di depan mata?
Begitulah senario apabila Seri Paduka yang juga Sultan Pahang yang berjiwa rakyat mencemar duli semasa melawat Pulau Tioman dengan gayanya yang santai dan bersahaja.
Gelagat selamba seorang adik mencuit lengan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempat dirakam oleh MalaysiaGazette dalam video berdurasi 31 saat.
Dalam video tersebut Seri Paduka Baginda sedang bersantap karipap di gerai berhampiran Taman Laut di Pulau Tioman kemudian menoleh ke belakang sebagai respons apabila lengannya dicuit.
Seorang kanak-kanak dalam lingkungan lima tahun dengan selamba mencuit Seri Paduka dan menyatakan hasrat untuk bergambar.
“Boleh tak nak ambil gambar?” katanya.
Dengan mesra Seri Paduka Baginda mengangguk dan memegang tangan kanak-kanak sebagai tanda berkenan untuk gambarnya diambil.
Agong juga memeluk kanak-kanak itu dan memberi peluang bapanya merakamkan gambar mereka.
Seri Paduka berkenan ke Pulau Tioman ketika lawatan kerja selam dua hari.
“Main bola ya, oo baju main pasukan Cardiff. Jarang orang pakai Cardiff. Mana jurukamera? Ambilkan gambar,” titahnya berseloroh.
Akti tersebut disaksikan oleh hampir 100 penduduk yang meraikan konvoi bermotor ketika Agong mengelilingi kawasan pulau peranginan itu.
Keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke pulau itu diiringi oleh anakandanya Seri Paduka Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Hadir mengiringi baginda ialah Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak serta beberapa barisan Exco Kerajaan Negeri. – MalaysiaGazette