Zaid Ibrahim

PETALING JAYA – Bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim mempunyai hasrat untuk menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Bagaimanapun, kata beliau, memandang peraturan parti menetapkan ahli baharu tidak boleh memegang sebarang jawatan, apatah lagi bertanding, hasrat itu terpaksa dipendam.

“Saya sudah lebih 30 tahun sebagai ahli UMNO dan pegang pelbagai jawatan dalam parti, tetapi hanya kerana saya berbeza pendapat dan pandangan dengan pucuk pimpinan, saya dipecat pada 2008.

“Selepas 14 tahun bukan ahli UMNO, saya sertai semula parti ini pada September 2022 dan mengikut peraturan parti, saya dianggap sebagai ahli baharu serta perlu penuhi segala syarat dalam perlembagaan parti.

“Sekarang saya ahli Cawangan UMNO Bukit Damansara dan malam tadi saya hadir mesyuarat cawangan sebagai ahli biasa,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Beliau berharap, UMNO melonggarkan syarat khusus kepada ahli baharu agar dapat sama-sama meraikan demokrasi dalam parti dengan menawarkan diri bertanding mengisi jawatan yang kosong.

Jelasnya, beliau berhasrat untuk bersama pucuk pimpinan melaksanakan reformasi parti, selain membantu UMNO menarik sokongan orang Melayu, terutama anak muda menyertainya.

Kata Zaid, ketika hadir mesyuarat malam tadi, beliau gembira melihat anak-anak muda Melayu menunjukkan semangat dan idealisme dengan perjuangan UMNO, malah diminta memberi pandangan.

“Saya maklumkan kepada mereka, UMNO tidak boleh buat perubahan atau baiki parti dan negara kalau masih dengan pemikiran atau perancangan jangka masa pendek.

“Kita kena fikir   panjang, kena berani buat perubahan jangkamasa panjang. Kita jangan buat perubahan pada ketua atau pemimpin, tetapi sistem itu mesti berubah.

“Perubahan sistem dan nilai itu menjadi tiket untuk kita menarik seramai mungkin sokongan, sekali gus penyertaan anak-anak muda dalam parti ini,” katanya.

Katanya, itulah harapannya kepada anak muda dan ahli Cawangan Bukit Damansara.

“Mereka tidak perlu bawa sepanduk atau replika senjata seperti nak berperang, hanya semata-mata nak tunjuk sokongan kepada parti.

“Kalau nak berperang, kita berperanglah dengan cara zaman sekarang ini iaitu gunakan pemikiran dan pelajaran. Itu yang saya pesan pada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette