Gari nasyid singer drug Youtuber murder Penang
Gambar hiasan

PENGKALAN HULU – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal diberkas bagi membantu siasatan pindahkan wang berjumlah RM3,500 milik ibunya tanpa kebenaran.

Lelaki berusia 25 tahun itu diberkas di Kulim, Kedah pada Ahad lepas susulan ibunya membuat laporan polis berhubung kejadian pada 10 Februari lalu.

MalaysiaGazette difahamkan, suspek mengambil telefon bimbit ibunya ketika berada di sebuah pasar raya di Kamunting sebelum melakukan transaksi pemindahan wang berjumlah RM3,500 secara dalam talian ke akaun bank peribadinya.

Tindakan suspek hanya disedari wanita berusia 57 tahun itu apabila dia berada di rumah sebelum tampil membuat laporan polis pada keesokan hari.

Difahamkan, pengadu membuat laporan polis susulan pemindahan wang itu dilakukan tanpa kerelaan serta pengetahuannya.

Susulan itu, bertindak atas maklumat dan risikan pihak polis berjaya menahan suspek sebelum mendapati wang tersebut digunakan untuk aktiviti perjudian.

Difahamkan, anggota tersebut bertugas di cawangan mahkamah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim sejak 2019 selain mempunyai rekod tatatertib tidak hadir bertugas.

Suspek direman selama empat hari sehingga 23 Februari ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette