KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menegaskan, menu Rahmah yang diperkenalkan di kebanyakan restoran bagi membantu meringankan beban golongan B40 bukan makanan rendah kualiti.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, bahan mentah yang digunakan untuk menu itu sama seperti dimasukkan dalam makanan empat atau lima bintang.
“Cuma bezanya harga sahaja, bukan kualiti,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, dakwaan Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali yang bahawa menu Rahmah boleh menyebabkan kanser, autism dan sebagainya telah mengguris hati para peniaga yang ikhlas mahu membantu rakyat.
Baru-baru ini, Dr. Halimah ketika dalam sesi perbahasan di Parlimen mengungkitkan menu Rahmah yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan sebagai usaha meringankan beban rakyat daripada kos sara hidup yang tinggi.
Dalam ucapannya, Dr. Haliman dilaporkan berkata, beliau tidak ada masalah dengan istilah”Rahmah” atau apa, tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan ‘low quality’ dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autism dan sebagainya.
Mengulas lanjut, Jawahar berkata, dakwaan bahawa ikan dalam menu Rahmah digoreng berkali-kali juga amat tidak berasas.
Katanya, sebagai peniaga, mereka juga mementingkan kualiti dan keselamatan makanan, malah mempunyai sijil sah untuk mengendalikan makanan.
“Jadi, tidak perlu MP Kapar membangkitkan isu yang tidak munasabah, malah memberi tanggapan yang salah kepada masyarakat.
“Saya pun tidak faham apa yang dimaksudkan menu ini penyebab kanser. Ikan, sayur, nasi dan ayam yang ada dalam menu Rahmah ini sama dengan hidangan lain yang harganya lebih tinggi.
“Apa sebenarnya maksud MP Kapar mengenai punca kanser disebabkan menu Rahmah? Selain dikaitkan juga dengan autoimmune disease dan autism jika makan menu ini,” katanya yang keliru dengan kenyataan itu.
Menurut beliau, punca autism disebabkan ciri-ciri genetik, sejarah keluarga, usia dan keadaan fizikal ibu semasa mengandung, jarak antara kandungan serta keadaan ketika hamil dan kelahiran bayi.
Kenyataan itu, katanya, menghina Orang Kurang Upaya (OKU) dan seolah makan menu Rahmah, mereka akan terkesan.
“Saya harap Dr. Halimah perbetulkan kenyataannya yang dilihat amat tidak wajar dikeluarkan oleh seorang doktor perubatan.
“Kami bukan ahli politik atau berkait dengan politik, tetapi kami terpanggil untuk bersuara atas kenyataan yang tidak munasabah ini,” katanya.
Bagaimanapun, dalam kenyataan balasnya semalam, Dr. Haliman menafikan beliau menganggap menu Rahmah berkualiti rendah dan mendedahkan rakyat terhadap kanser, autoimmune disease serta autisme.
Dalam masa sama, beliau mencabar Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan supaya menyemak semula Penyata Rasmi Harian (hansard) bagi membuktikan beliau pernah berkata demikian sehingga mencetuskan pertikaian, baru-baru ini. – MalaysiaGazette