Menara KL
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Cyber Security Malaysia (CSM) akan menjalankan siasatan terhadap laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 baru-baru ini yang mendedahkan maklumat pengguna aplikasi MySejahtera telah dimuat turun oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengumumkan tindakan selanjutnya selepas laporan siasatan CSM dilengkapkan kelak.

“Berkenaan isu data MySejahtera seperti yang diperkatakan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (Pakatan Harapan), saya telah arahkan CSM melakukan siasatan berkenaan isu ketirisan data bagi aplikasi itu.

“InsyaAllah bila laporan itu disiapkan, SKMM akan keluarkan kenyataan. Ini penting kerana saya percaya polis juga akan lakukan siasatan dan bagi agensi yang lain terpulang kepada pengumuman,” katanya ketika sidang media padac persidangan  Dewan Rakyat, hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan LKAN mendedahkan terdapat 1.12 juta cubaan memecah masuk aplikasi tersebut.

Ekoran itu, sebanyak 3 juta maklumat pengguna aplikasi MySejahtera telah diakses secara mencurigakan daripada satu akaun Super Admin.

Laporan tersebut menyatakan Minit Mesyuarat Keselamatan MySejahtera Bil 1 Tahun 2022 mengesahkan cubaan serangan siber dilakukan dari nombor IP yang sama.

Menurut laporan berkenaan, pihak pembekal perkhidmatan bernombor pendaftaran 700674-U telah bertindak menyahaktif IP terbabit dan tahap keselamatan aplikasi dipertingkatkan dengan pemasangan Web Application Firewall (WAF) dan pemantauan berterusan oleh syarikat berkenaan. – MalaysiaGazette