KUALA LUMPUR – Operasi perkhidmatan Transit Aliran (LRT) di antara Stesen Sentul Timur dan Bandaraya kini beroperasi dengan kekerapan setiap 12 minit.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini berkata, ia berikutan beberapa tren terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

“Semenjak 27 Januari lalu, sebanyak lima buah tren digunakan di antara stesen-stesen tersebut. Disebabkan kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen Bandaraya, tren-tren tersebut tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya.

Tambah Rapid Rail, kini hanya dua buah tren sahaja yang dapat beroperasi selepas tiga daripada lima buah tren tidak lagi memenuhi kriteria operasi.

“Bagi menampung dan mengendalikan penumpang-penumpang yang terjejas, perkhidmatan bas perantara (LRT11) di antara Stesen Sentul Timur dan Bandaraya diaktifkan bermula waktu puncak petang ini .

“Sebanyak 10 buah bas akan digunakan bagi perkhidmatan ini melibatkan stesen Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail dan Bandaraya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Rapid Rail berkata, perjalanan sehala menaiki bas perantara dari Sentul Timur ke Bandaraya dijangka mengambil masa selama 30 minit.

Selain itu, anggota operasi rel, anggota polis bantuan dan Troopers akan ditempatkan di stesen-stesen yang terlibat bagi mengawal pergerakan penumpang.

Dalam pada itu, pihaknya memohon maaf atas kesulitan dan kesukaran yang dihadapi para penumpang. – MalaysiaGazette