Kumpulan jemaah menunggu giliran untuk daftar masuk bagasi masing-masing di Jakarta.

PUTRAJAYA – Kesemua jemaah umrah Malaysia yang mengalami kelewatan penerbangan akibat masalah teknikal di Jakarta, Indonesia telah selamat berlepas ke Tanah Suci menggunakan penerbangan Saudi Airlines pagi ini.

Mereka telah berlepas secara tiga peringkat sejak awal pagi tadi dan penerbangan kumpulan pertama akan tiba di Jeddah pada pukul 11.28 pagi waktu Arab Saudi (4.28 petang waktu Malaysia).

Emraz Travel & Tour berkata, isu kelewatan timbul akibat masalah teknikal melibatkan tiket penerbangan yang menyebabkan jemaah umrah tersebut tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk ke penerbangan dari Jakarta ke Jeddah.

Tindakan pantas pihak pengurusan syarikat telah berjaya menyelesaikan isu tersebut dan jemaah yang terkesan telah dibawa ke hotel penginapan sementara menunggu jadual penerbangan mereka yang berikutnya.

Situasi ini boleh berlaku sewaktu transit terutama melibatkan musim yang padat seperti Cuti Sekolah dan syarikat sentiasa memastikan kebajikan jemaah sentiasa dijaga.

Menurutnya, syarikat iyu akan terus memastikan semua pelanggan diberikan perkhidmatan terbaik. – MalaysiaGazette