ASKCO telah ditubuhkan pada 2016 dan telah terlibat dengan beberapa syarikat Malaysia urus niaga korporat berprofil tinggi di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co (ASKCO) yang terdiri 15 barisan peguam pelbagai profil berhasrat mahu menjadi juara dalam membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Mereka perlu memahami lebih mendalam mengenai hak dan perundangan bagi membolehkan mereka mengurus dan mengembangkan perniagaan pada masa depan.

Diterajui oleh Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar, ASKCO menyedari PKS adalah tulang belakang ekonomi di negara ini dan kesedaran undang-undang dan mekanisme untuk pembangunan dan perlindungan golongan itu penting bagi pemerkasaan golongan itu.

Beliau berkata, ilmu literasi undang-undang mampu membantu usahawan mengenai hak dan perundangan bagi membolehkan mereka bertindak sekiranya berhadapan dengan masalah dalam perniagaan apatah lagi melibatkan rakan kongsi.

“Isu berkaitan usahawan PKS lebih mudah difahami apabila ASKCO telah turun padang menemui golongan sasar kerana kebanyakan mereka tidak mengetahui permasalahan perundangan malah ada yang takut apabila mendengar nama peguam.

“Kesukaran mendapatkan maklumat telah mewujudkan salah faham terhadap isu undang-undang berkaitan usahawan yang menjadi punca mereka tidak tampil mengadu walaupun masalah itu boleh di atasi lebih awal malah ada yang berdepan masalah seperti tidak membayar cukai,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Muhamad Akmal Shamsul Kahar (kiri) dan Mohamad Taufiq Othman.

ASKCO telah ditubuhkan pada 2016 dan telah terlibat dengan beberapa syarikat Malaysia urus niaga korporat berprofil tinggi di Malaysia.

Terdiri daripada 15 peguam termasuk rakan kongsi utamanya, Mohamad Taufik Othman, ASKCO kini mempunyai pengalaman luas dalam litigasi, korporat, hartanah dan nasihat perniagaan untuk PKS dan syarikat di Malaysia dan pasaran antarabangsa.

Malah Muhamad Akmal Arif pernah menerima The Emerging Leaders of The Year 2019 oleh The Leadership Excellence Awards anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan Malaysia.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal Arif memberitahu, sehingga kini pihaknya berjaya menyelesaikan 370 kes legitasi dan 390 kes korporat yang membuktikan kemampuan barisan peguam yang dimilikinya.

Beliau berkata, ketika ini, ASKCO sedang mengendalikan kes PKS setiap bulan dengan kebanyakannya melibatkan sektor marin, pesisir luar pantai dan perkhidmatan latihan.

“Kami menyasarkan hendak buka Koridor Borneo di Sabah, selatan dan Pantai Timur di mana pada 2026, ASKO mampu memiliki 1,000 anak guaman kerana koridor ini banyak membantu selepas membuka Koridor Utara,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast