Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan satu lagi notis tuntutan permohonan maaf tanpa syarat berhubung kenyataan berbaur fitnah oleh Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim.

Awang Solahuddin itu dipercayai membuat kenyataan mengenai Perdana Menteri kepada media itu di lobi Parlimen pada 21 Februari lepas.

Ia telah diterbitkan semula dalam aplikasi Tiktok di bawah akaun ‘@asriasri64chanel’ pada 22 Februari yang mendapat lebih 20,600 tontonan, 322 komen, 159 tanda suka, 19 tanda kegemaran dan 47 perkongsian setakat ini.

Dalam notis tuntutan melalui Tetuan SN. Nair & Partners, kata Datuk SN Nair, jika pihaknya tidak menerima maklum balas memuaskan daripada Awang Solahuddin dalam tempoh tiga hari daripada tarikh penerimaan notis, tindakan perundangan akan diteruskan.

“Anak guam kami menegaskan bahawa perkataan-perkataan memfitnah dalam video Tiktok itu dan artikel berkenaan adalah tidak benar, serta mempersoalkan kebijaksanaan dan kesahihan kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti mana termaktub dalam perlembagaan.

“Anak guam kami secara rasmi untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong dan dilantik serta mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia, dalam satu majlis rasmi selepas baginda secara rasminya membuat kesimpulan bahawa pada hemat baginda, anak guam kami berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen.

“Tetapi Awang Solahuddin dengan sengaja persoal kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022, selain mendakwa kata-kata fitnah merupakan penghinaan terhadap institusi Raja-raja Melayu,” katanya.

Kata peguam itu, perbuatan itu antara lain membawa maksud bahawa Anwar bukanlah seorang Perdana Menteri dilantik secara sah, tidak mempunyai majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan menipu rakyat serta Yang di-Pertuan Agong berhubung bilangan Ahli-Ahli Parlimen menyokongnya.

Berdasarkan notis tuntutan itu, Nair memaklumkan anak guamnya akan menuntut ganti rugi atas tindakan Awang Solahuddin selain menarik balik video Tiktok dan permohonan maaf.

Pada 22 Februari lalu, Anwar memfailkan notis tuntutan terhadap Awang berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkan terhadap Perdana Menteri di lobi Parlimen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast