KUALA LUMPUR – Momentum pemulihan pasaran buruh dijangka berterusan selaras dengan jangkaan trend pertumbuhan ekonomi yang kekal mengalakkan pada tahun 2023.
Pertumbuhan dalam semua sektor ekonomi dan keperluan lebih ramai pekerja bagi menyokong permintaan domestik yang tinggi akan mendorong kepada peningkatan permintaan buruh.
Tinjauan Ekonomi & Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini berkata, penerusan dasar akamodatif untuk memudah cara penyediaan pekerja yang mencukupi bagi menyokong aktiviti perniagaan khususnya dalam industri berintensif buruh akan mengalakkan lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya dalam kalangan belia.
Justeru, jumlah guna tenaga dijangka terus meningkat sebanyak 1.7% kepada 15.6 juta orang dengan lebih 80% peluang guna tenaga dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Sehubungan itu, penganggur diunjur terus berkurang kepada 3.5% hingga 3.7%.
Katanya, usaha berterusan untuk menarik pelaburan berkualiti dan mempercepat digitalisasi juga akan membolehkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi dan berproduktiviti tinggi dalam ekonomi.
Langkah tersebut akan menyumbang kepada prospek pendapatan lebih baik kepada tenaga kerja dan peningkatan pampasan pekerja secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette