KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak pernah mengarahkan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda Bersatu (Armada), Rafiq Hakim Razali untuk mengeluarkan wang sebanyak RM1 juta daripada akaun Armada.
Bekas Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin ketika membacakan keterangan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, keputusan pengeluaran wang dibuat sebuah kumpulan melibatkan pemimpin tertinggi Arnada dikenali G5 yang mengadakan perbincangan di rumah tertuduh.
“Keputusan dibuat oleh G5 secara bersama bahawa bantuan diperlukan untuk Covid-19, raya dan Ramadan. Jumlah pengeluaran adalah berdasarkan keperluan setelah Rafiq berbincang dengan Eeco Armada yang bertanggungjawab. Pengagihan dana bagi bantuan yang dinyatakan adalah secara ‘ad hoc’.
“Oleh yang demikian, tiada keperluan untuk sediakan kertas kerja bagi tujuan itu. Tiada sebarang kertas kerja pernah dibentangkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sepanjang keahlian saya.
“Saya tidak pernah mempunyai sebab untuk percaya bahawa kertas kerja perlu dibentangkan kepada MPT Bersatu bagi mana-mana pengeluaran, perbelanjaan atau pengurusan program Armada atau Bersatu,” katanya yang merupakan saksi pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq yang merupakan Ketua Armada bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan mengendalikan dana Armada berjumlah RM1 juta melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun ketika disoal balas oleh pendakwaan seandainya perbincangan telah diadakan tanpa kehadiran beliau dan bekas Naib Ketua Armada, Mohd Aizad Roslan, Ulya Aqamah tidak bersetuju.
Ulya Aqamah juga tidak bersetuju apabila ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa beliau berpakat dengan Syed Saddiq untuk berbohong dalam mahkamah.
Wan Shaharuddin: Awak akan buat apa saja untuk bantu Syed Saddiq?
Ulya Aqamah: Tak setuju.
Terdahulu pada prosiding sama, saksi pembelaan ke-2, bekas pegawai khas Syed Saddiq, Mohamed Amshar Aziz mendakwa dana yang dikumpul hasil majlis amal oleh tertuduh adalah hak miliknya sendiri.
Kata Mohamed Amshar, beliau menguruskan tugasan penganjuran majlis amal ‘Fund-raising Battle’ di Hotel De Palma Hotel, Ampang manakala ‘Makan Amal Muo’ diuruskan dua rakan Syed Saddiq dikenali Hidayah dan Luqman Long di Muar masing-masing pada 8 dan 7 April 2018.
Katanya, bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassi, dijemput sebagai tetamu kehormat pada kedua-dua majlis tersebut.
Tambah beliuau, sumbangan pada majlis itu menerusi diperoleh menerusi pembelian kerusi dan meja berharga antara RM100 hingga RM5,000.
“Rafiq tidak terbabit dan mengambil bahagian dalam penganjuran kedua-dua majlis meraih dana itu. Malah, Rafiq tidak menghadiri kedua-dua majlis berkenaan,” ujarnya.
Prosiding bersambung pada 13 Mac depan. – MalaysiaGazette