Para alumni UMS dan warga universiti yang hadir mengambil gambar kenang- kenangan. Turut kelihatan Dr Kasim (duduk enam dari kiri).

SANDAKAN – Seluruh alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipelawa menyumbang bakti kepada universiti itu dan menjadikan platform alma mater sebagai satu medan perkongsian kepada bakal alumni.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, setiap kemahiran, pengalaman dan perkongsian ilmu selepas bergraduat amat bermanfaat untuk dikongsi bersama dengan para pelajar dan seluruh komuniti kampus.

”Bagi saya bukan nilai sumbangan kepada universiti yang menjadi ukuran, sebaliknya bagaimana bentuk sumbangan itu mampu membawa perubahan kepada pembangunan universiti dan juga kebaikan kepada masyarakat setempat.

”Saya amat berharap Alumni UMS  tidak melupakan universiti yang tercinta dan seterusnya menyumbang kepada bakal alumni yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama Alumni Chapter Sandakan 2023, di Taman Tasik Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS, di sini, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai program itu, Kasim berkata, kehadiran wakil alumni dari Chapter Sandakan amat bermakna kerana kumpulan-kumpulan itu merupakan antara duta kecil UMS yang kini menabur bakti kepada masyarakat di seluruh pelosok daerah.

“Pada masa yang sama, mereka jugalah yang akan memperkenalkan kewujudan UMS sebagai sebuah universiti awam yang terbaik di Sabah.

“Untuk makluman, alumni UMS di Zon Sandakan kini telah mencecah 887 orang. Justeru, adalah menjadi harapan saya agar program seumpama ini akan berkesinambungan untuk menjejak dan membina hubungan baik dengan kesemua alumni UMS,” katanya.

Mengulas lanjut, Kasim juga memaklumkan program seumpama itu penting sebagai medan perbincangan antara alumni dan pihak pentadbiran universiti bagi merencana ruang-ruang kerjasama dan program-program yang dapat menambahbaik agenda pembangunan universiti.

”Saya berharap agar pada masa-masa akan datang, program seumpama ini akan dapat diperluaskan lagi dengan penganjuran pelbagai program yang melibatkan zon dan chapter lain di seluruh negara.

”Ini kerana saya percaya, alumni merupakan aset yang amat berharga dan penting kepada UMS,” ujarnya. – MalaysiaGazette