Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya pada pemilihan parti 18 Mac ini.

Memetik laporan Malaysiakini, bekas Perdana Menteri itu mengesahkan perkara tersebut dalam mesej teks petang tadi.

Beliau tidak menyatakan mengapa keputusan tersebut dibuat namun difahamkan, Ahli Parlimen Bera itu akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.

Dua lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid merupakan antara lapan pemimpin UMNO yang telah menyerahkan orang pencalonan bagi jawatan berkenaan.

Mereka yang lain ialah Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Hasni Mohammad, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pencalonan untuk pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 ditutup pada pukul 5 petang tadi.

Persaingan untuk jawatan Naib Presiden menjadi tumpuan kali ini setelah Perhimpunan Agung UMNO 2022 membuat ketetapan bahawa jawatan Presiden dan timbalannya tidak dipertandingkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tu yg terbaik.Tanding tp tak menang adalah lebih memeritkan. Berehat bersama keluarga adalah pilihan terbaik setakat ini.

Comments are closed.