Presiden Pertubuhan Amal Tranformasi Malaysia (Arima), Oms Thiagarajan

KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM100juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dalam Belanjawan 2023 merupakan khabar gembira dan amat dialu-alukan.

Malah itu juga bukti keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus memperkasakan masyarakat India.

Bagaimanapun menurut pengasas dan Presiden Pertubuhan Amal Tranformasi Malaysia (Arima), Oms Thiagarajan, peruntukan yang memberi impak besar kepada golongan usahawan dan B40 masyarakat India perlu ditangani dengan lebih telus berbanding sebelum ini.

Kata Oms, objektif dan visi MITRA bagi memperkasakan sosio-ekonomi kaum India tidak mencapai sasaran dan tidak kelihatan kemajuan yang memberansangkan ke atas komuniti itu.

Ini kerana kata beliau, umum mengetahui beberapa skandal penyelewengan yang pernah berlaku di bawah pengurusan terdahulu sehingga ada peruntukan daripada dana itu disalahgunakan.

“Saya tidak kata ikut suka hati, kita ada bukti. Sememangnya isu berkaitan skandal MITRA ini kita selalu dengar saban tahun memandangkan kerajaan terdahulu juga ada memperuntukkan dana sedemikian bagi tujuan memperkasakan masyarakat India di negara ini.

“Kita tidak mahu perkara itu berlaku, sememangnya itu tidak akan sesekali berlaku dengan adanya Datuk Seri Anwar yang sebelum ini ketika menjadi Ketua Pembangkang pernah beberapa kali mendedahkan perkara ini di Parlimen serta forum-forum utama.

“Kita dapati sejumlah peruntukan telah disalurkan untuk membuat program namun kebanyakan program tidak mencapai kumpulan sasarannya malah juga ada bukti dimaklumkan ada badan-badan NGO yang ‘friendly’ kepada kroni tertentu telah menerima jumlah peruntukan yang besar tanpa sebarang impak kepada komuniti.

“Kerana itu juga saya berharap akan adanya sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan dengan dibariskan dengan kumpulan berpengalaman untuk mengendalikan serta memantau dana berkenaan untuk diagihkan secara telus tanpa campur tangan daripada mana-mana parti politik.

“Peruntukkan harus digunakan secara maksimum dan telus untuk membantu meningkatkan kehidupan dan sosioekonomi golongan B40,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dua tahun lepas, seramai 16 pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukan yang dikeluarkan oleh MITRA.

“Saya amat berharap Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan juga Timbalan Menteri, Saraswaty Kandasamy akan memainkan peranan penting dalam memastikan golongan sasaran diberikan fokus dan kepentingan.

“MITRA seharusnya memberikan peruntukan ini secara geran untuk membantu usahawan-usahawan kecil India bagi menaikkan perniagaan mereka. Berilah bantuan peralatan dan latihan teknologi supaya potensi perniagaan dapat dipertingkatkan dan membantu menjana pendapatan yang lumayan.

“Bagi pendidikan juga, peruntukan boleh disalurkan kepada pelajar-pelajar India B40 yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kita boleh menaja mereka seperti memberi biasiswa serta bantuan-bantuan lain.

“Tahukah anda peruntukan MITRA telah mula diberikan sejak 10 tahun lepas, sudah RM1bilion nilainya tapi apakah nilai itu kita dapat ‘justified’ pada hari ini? Berapa ramai yang benar-benar memerlukan dan sudah keluar dari kelompok kemiskinan itu?

“Ingatlah, dana bernilai RM100 juta ini amat besar nilainya kepada yang benar-benar memerlukan. Ianya harus digunakan dan dimanfaatkan dengan sempurna oleh masyarakat India di negara ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette