Hasbi Habibollah

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk membina Lapangan terbang Antarabangsa Kulim (KXP), kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata, perkara itu hanya akan dipertimbangkan sekiranya keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mencapai tahap maksimum.

“Sebelum Covid-19, LTAPP menerima lapan juta penumpang, tahun lepas empat juga lebih, di sini kita melihat sekiranya lapangan terbang itu sudah mencapai tahap tidak mampu lagi, mungkin KXP akan menjadi lapangan terbang alternatif.

“Saya difahamkan lapangan terbang ini lebih kepada kargo, LTAPP pun ada perkhidmatan kargo, jadi sehubungan itu kerajaan belum lagi mempertimbangkan pembinaan KXP,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) apabila mahu Menteri Pengangkutan menyatakan rancangan untuk menyelesaikan masalah pengangkutan di Pulau Langkawi dan juga perkembangan terkini berhubung cadangan pembinaan KXP.

Menurut Hasbi lagi, pembinaan lapangan terbang baharu mesti mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan, selain perlu menubuhkan Aerodrom mengikut akta sedia ada bagi membolehkan mereka memohon Lesen Pengendali Aerodrom (AOL).

“Sehingga hari ini, tiada kelulusan daripada kerajaan Persekutuan untuk tujuan itu. Cadangan pembinaan KXP adalah inisiatif anak syarikat kerajaan negeri dengan syarikat swasta yang lain, oleh projek ini tidak melibatkan Malaysia Holding Sdn Bhd (MHSB) secara langsung dan setakat ini tidak disenaraikan sebagai prohek pembangunan di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Dalam Belanjawan 2023 baru-baru, kerajaan memutuskan untuk memberi keutamaan untuk menaik taraf dan pembesaran yang akan diterajui MAHB.

“Pembangunan ini dijangka memberi pertumbuhan ekonomi dalam kos yang rendah berbanding pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya membandingkan projek menaik taraf LTAPP dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dengan pembinaan Kedah Aerotropolis pada pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lepas. – MalaysiaGazette