PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini sekali lagi diperdengarkan dengan hujah mengapa Datuk Seri Najib Razak mahu menukar barisan peguamnya saat akhir dalam rayuan akhir berkaitan sabitan dan hukuman kes penyewelengan dana RM42juta milik SRC International.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram berhujah, tindakan itu juga sebenarnya tidak membawa kebaikan kepada bekas perdana menteri itu sebaliknya hanya membawa kerosakan kepada tertuduh.
Sambil menggunakan frasa changing horses in midstream (tukar kuda di tengah aliran) yang bermaksud tindakan drastik pada satu-satu masa penting sesebuah perjuangan, Sithambaram berkata, akhirnya tindakan tersebut merugikan Najib yang menyebabkan prosiding semakan diperdengarkan pula.
“Memang saya setuju bahawa tertuduh (Najib) mempunyai hak untuk menukar peguamnya tetapi biarlah barisan peguam itu dalam keadaan siap sedia. Jika tidak, selepas ini tindakan ini akan memberi ‘peluang’ kepada yang lain untuk berbuat demikian (tangguh kes).
“Saya cakap tujuan peguam-peguam ini tidak mahu teruskan kes adalah kerana mahu mahkamah menangguhkan dulu prosiding rayuan akhir itu,” katanya di hadapan lima panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Abdul Rahman Sebli.
Turut bersidang ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Sithambaram berkata, adakah tempoh empat bulan sebelum prosiding akhir bermula tidak cukup dan masih memerlukan masa lagi untuk bersedia.
“Ini bukan satu alasan, ini sebenarnya mengganggu proses keadilan yang sedang berjalan Yang Arif-Arif,” ujarnya.
Najib sebelum ini melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonannya pada 6 September tahun sama, memohon supaya keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang mengesahkan sabitan, hukuman dan denda disemak semula.
Pada 25 Julai 2022, Najib menamatkan perkhidmatan Muhammad Shafee dan firma guamannya, Tetuan Shafee & Co sebelum melantik firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) bagi menggantikan fima terbabit tiga minggu sebelum prosiding akhir bermula.
Bagaimanapun menurut peguam utama yang mengetuai pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, adalah tidak untuk bercakap sedemikian tentang anak guamnya kerana ini adalah kali pertama mantan Ahli Parlimen Pekan bertindak menukar peguam pada waktu akhir.
“Ianya telah dilakukan dengan niat baik. Ini juga tindakan selepas Mahkamah Tinggi tidak membenarkan Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw dimasukkan sementara ke Badan Peguam dan mewakili Najib dalam rayuan akhirnya.
“Anak guam saya tidak mempunyai agenda lain untuk sebarang penangguhan,” hujahnya kembali.
Prosiding akan bersambung pagi esok.
Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda.
Ketika ini, Najib yang juga mantan Presiden UMNO sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya. – MalaysiaGazette