DAP Melayu Melayu-Islam
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan Kerajaan Perpaduan supaya tidak menyalahkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya gagal bertahan.

Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan kerjaaan sekarang tidak kukuh apabila Pakatan Harapan (PH) terpaksa bergabung dengan parti-parti kecil akibat gagal meraih jumlah kerusi yang cukup.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu, parti-parti komponen PH mempunyai jumlah kerusi yang tidak mencukupi dan terpaksa menggabungkan semua parti-parti kecil dan segala yang berpenyakit bagi mencukupkan jumlahnya dalam kerajaannya sebagai mana yang disaksikan oleh rakyat.

“Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah,” katanya ketika membahas Bajet 2023 dalam Dewan Rakyat.

Katanya, PN kini mendapat sokongan daripada pengundi Melayu Bumiputera di luar bandar termasuk parti di Sabah dan Sarawak.

“Adapun PH mendapat sokongan penduduk bandar dan kawasan campuran yang didukung oleh bukan Melayu dan bukan Bumiputera,” tambah beliau.

Selain itu, beliau mengingatkan kerajaan hari ini supaya tidak berdendam dengan penjawat awam selepas PH gagal mendapatkan undi daripada golongan berkenaan.

“Perlu ada pemisahan kuasa yang tidak diganggu oleh sebarang campur tangan politik yang salah. Kekalahan Pakatan Harapan dalam undi penjawat awam, jangan jadikan dendam yang salah dan merosakkan.

“Kalangan ahli politik yang berwibawa pemikirannya dan berintegriti, diwajibkan agar melaksanakan keadilan kepada semua pihak daripada kalangan rakyat, tanpa mengira agama, bangsa dan penyokong atau pembangkang mahupun kalangan atas pagar yang tidak berpendirian, bahkan juga terhadap musuh,” katanya lagi.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, sistem kerajaan yang adil dan demokrasi haruslah mengagihkan peruntukan kepada setiap negeri secara adil termasuk pentadbiran pembangkang.

“Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, bab hasil bumi pula dikebas daripada semua negeri termasuklah negeri pembangkang dan rakyat pembangkang, tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan,” kata Abdul Hadi. – MalaysiaGazette