ROMPIN – Tiga orang ibu mengandung di Felda Selancar, di sini, diterbangkan ke Kuantan menerusi penerbangan ihsan Tentera udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk menerima rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penerbangan itu dilakukan susulan jalan menghubungkan Felda Selancar dengan Bandar Muadzam Shah terputus berikutan kejadian tanah runtuh.

“Bencana bukan halangan bantuan dihulurkan, begitulah pengorbanan anggota kesihatan JKN Pahang dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik tanpa mengira apa jua keadaannya.

“PKD Rompin telah menerima makluman daripada Klinik Kesihatan Perwira Jaya pada pukul 10.30 pagi berkenaan dengan tiga orang ibu mengandung berisiko tinggi yang berada dalam fasa pertama kelahiran

“Satu pasukan Obstetric Retrieval dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang terdiri daripada seorang Pegawai Perubatan Obstetrik dan Jururawat Kesihatan telah diterbangkan ke Felda Selancar sekitar jam 4.51 petang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham perjalanan mengambil masa kira-kira 1 jam 40 minit menaiki helikopter milik TUDM yang diselaraskan oleh Pusat Kegiatan Operasi Bencana (PKOB) bagi membawa keluar kesemua pesakit tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN :

Lebih 11,000 penduduk Felda Selancar terputus hubungan

Jalan masuk ke Perwira Jaya, Selancar ditutup akibat tanah runtuh

TPM arah bina jambatan Bailey di Selancar

Pasukan tersebut sampai ke lokasi kira-kira jam 6.15 petang dan ketiga-tiga pesakit diperiksa oleh pegawai perubatan dan didapati stabil dan tiba di Pangkalan Udara Kuantan pada jam 7.15 malam.

Ketiga-tiga pesakit tersebut telah dimasukkan ke dewan bersalin dan menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) jam 8.33 malam dengan menaiki ambulan.- MalaysiaGazette