KUALA LUMPUR – Kerajaan belum bercadang untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia kerana cadangan itu tidak sesuai dengan cabaran ekonomi yang sedang melanda negara masa ini.
Katanya, kerajaan akan mengkaji kesesuaian pengenalan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham syarikat
yang tidak tersenarai di Bursa Malaysia mulai tahun 2024.
“Ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk GST diperkenalkan semula kerana cabaran ekonomi yang dijangka dihadapi pada tahun 2023 iaitu kadar inflasi makanan yang agak tinggi serta kadar pertumbuhan ekonomi yang sederhana,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewanghan menjawab pertanyaan Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) yang ingin tahu sama ada GST akan diperkenalkan semula dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.
Menurut beliau, sebarang perubahan dasar kerajaan berkaitan cukai perlu mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
“Sehubungan itu, Kerajaan sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah-langkah fiskal yang bersesuaian dengan keperluan jangka pendek dan sederhana.
“Berhubung inisiatif cukai yang akan diambil dalam masa terdekat, kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2023 telah mengumumkan cadangan pengenaan cukai ke atas barangan mewah serta peluasan duti eksais ke atas produk berkaitan rokok elektronik dan vape pada tahun 2023,” ujarnya. – MalaysiaGazette