Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir pada pelancaran buku Fiqh Siasah: Abdul Hadi Awang Dalam Sosiopolitik Malaysia dan Antarabangsa di Program Dialog Ulama Negarawan di Hotel Tamu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dan Pas bersedia menerima bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa untuk menyertai parti itu.

Pelawaan itu dibuat selepas bekas Ahli Parlimen Ketereh itu meyatakan hasrat untuk menyertai parti politik bagi meneruskan semula perjuangan politik secara berparti pada Isnin lalu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Annuar seorang pemimpin berwibawa berkata, beliau boleh membantu politik tanah air.

“Beliau akan buat keputusan ini dan kita alu-alukannya,” katanya pada pada sidang media selepas program Dialog Ulama: Negarawan bertajuk Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini, di sini, malam tadi.

Annuar yang juga bekas Ketua Bahagian UMNO Ketereh dipecat daripada parti itu selepas didakwa lantang mengkritik kepemimpinan parti terutamanya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Berikutan pemecatannya itu, Annuar kemudian menggerakkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN)

Mengulas lanjut mengenai perkembangan PN pada masa ini, Abdul Hadi memberitahu, terdapat perkembangan positif pada gabungan parti politik itu sejak PRU15.

“Ia dapat dilihat menerusi penyertaan ahli UMNO dalam PN. Hasilnya kita memperoleh kemenangan di Perlis, seterusnya mara di Pahang dan Peraki,” ujar beliau.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO melakukan ‘pembersihan secara besar-besaran’ dengan memecat dan menggantung beberapa pemimpinnya.

Antara yang dipecat adalah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy JamaluddinAbu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar kerana didapati melanggar disiplin parti.

Manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff pula digantung keahlian selama enam tahun. – MalaysiaGazette