Jalan di Felda Selancar yang merupakan jalan utama ke Kuantan dan Segamat ditutup akibat kejadian tanah runtuh. Sumber : media sosial

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Jurutera Daerah (JD) bagi melaksanakan proses lantikan konsesi mengikut keperluan mendesak pada masa ini akibat bencana banjir di Johor.

KKR dalam kenyataannya berkata, daerah yang masih dalam proses perlantikan konsesi itu adalah Kluang, Batu Pahat, Segamat, Muar dan Tangkak.

“Kebanyakan jalan yang terjejas adalah melibatkan Jalan Persekutuan. Pihak Konsesi Persekutuan dan juga JKR Daerah akan mengenalpasti jalan-jalan yang rosak bagi tujuan permohonan peruntukan kerja-kerja pembaikan,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi memenuhi tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) JKR Malaysia sentiasa bersiapsiaga mengaktifkan aset-aset jabatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan antaranya kesiapsiagaan pasukan bailey bridge serta aset-aset jabatan.

Selain itu katanya, pihak JKR Kota Tinggi turut bersama-sama membantu membawa pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga membawa pesakit ke hospital.

Dalam pada itu KKR berkata, pihak konsesi bersama JKR daerah turut bersiapsiaga di laluan yang dinaiki air sebagai persediaan jika berlaku kecemasan yang tidak diingini.

Selain itu tambahnya, Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah disediakan oleh pihak konsesi Persekutuan dan negeri untuk membantu kawalan trafik di lokasi yang terjejas.

“Pada masa yang sama, pemantauan paras air naik dan turun turut dilaksana bagi memastikan jalan atau laluan tersebut boleh dibuka kepada orang awam atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Tindakan segera telah dan sedang diambil oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) berikutan banjir di Johor antaranya mengakifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor serta-merta pada 8 pagi hari ini.

Tujuh daerah di Johor yang terjejas dengan bencana itu setakat semalam adalah Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Kulai, Johor Bahru dan Pontian.

“Pelaporan terkini kejadian bencana di setiap daerah yang terjejas akan dikemas kini setiap empat jam. Pelaporan akan dikemas kini menerusi laman rasmi Pengurusan Bencana JKR Malaysia (e-Bencana). JKR Negeri dan Daerah juga sentiasa bersiap sedia membantu orang awam dalam penyaluran maklumat terkini dan pertanyaan berkaitan dengan penutupan jalan,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette