KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad bahawa hanya beliau yang ‘menerajui’ sayap itu ketika parti dalam waktu-waktu sukar berbanding mantan-mantan sebelum ini tidak diterima.
Malah, kenyataan Noraini bahawa pencapaiannya boleh diukur dengan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Negeri (PRK) dan bukannya melalui suara lantang seperti kelaziman juga tidak diterima oleh segelintir pimpinan sayap itu.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, walaupun Noraini menerajui Wanita UMNO ketika parti dilanda badai namun pada masa parti UMNO tetap kalah besar pada Pilihan Raya Umum ke-15.
“Benar beliau kemudi kapal (Wanita UMNO) ketika badai melanda. Tetapi adakah beliau sedar kapal yang dibawanya itu tidak ke mana-mana dan hampir karam pada PRU-15 dengan kemenangan hanya 25 kerusi berbanding 54 kerusi pada PRU14 sebelumnya.
“Hanya tiga Ahli Parlimen Wanita UMNO yang menang dan prestasi untuk mengangkat suara wanita masih corot dengan tidak sampai pun separuh dari 30 peratus seperti yang menjadi laungan. Kita jatuh merudum.
“Ingat ya, nakhoda kapal juga perlu sentiasa berada di atas kapal, baik dalam keadaan badai mahu pun tenang. Apa kita rasa, sebenarnya nakhoda kapal ini jarang ada dalam kapal. Apabila musuh menyerang, kita seperti tiada nakhoda. Nakhoda pula seperti hilang arah, tiada responsif terhadap serangan lagilah jika ada krisis melanda.
“Jangan lupa juga, kemenangan di PRN dan PRK itu kerana aura ‘Bossku’. Nakhoda ini hanya melawat tempat-tempat yang disukai sahaja. Tidak memberi solusi kepada keseluruhan jentera wanita. Kerana itulah popularitinya hanya ditempat-tempat tertentu sahaja.
“Beliau hanya menjaga posisi dia sebagai nakhoda sahaja tanpa menghiraukan anak-anak kapal yang penat lelah sama-sama menyelamatkan kapal ini,” katanya.
Walaupun tidak berterus-terang namun secara pemahaman ‘nakhoda’ yang dimaksudkan oleh Haryaty ialah Noraini yang mengemudi sayap Wanita UMNO sebagai Ketua.
Kata Haryaty lagi, ketika ini beliau berpandangan sayap Wanita UMNO memerlukan nakhoda yang bukan sahaja berpengalaman sebaliknya berani, lantang hebat.
“Datuk Seri Noraini mungkin lebih sesuai untuk kapal-kapal kecil bersaiz biasa baru boleh menyerlah kemahiran, lebih baik beliau berjiwa besar akui kekurangan beliau ini.
“Menjadi pemimpin kita tidak selamanya mendapat pujian sebaliknya juga harus terima teguran dan kritikan. Kaliber seseorang pemimpin itu adalah berdasarkan pengalaman dan usaha. Begitulah kehebatan pemimpin-pemimpin wanita UMNO sebelum-sebelum ini. Masing-masing ada legasi boleh dibanggakan,” ujarnya.
Katanya, terbaharu teknik kempen menggunakan petikan video ucapan Presiden UMNO di Parlimen mendoakan beliau berjaya dan menggunakan ketua-ketua UMNO bahagian mencampuri pemilihan kepimpinan wanita untuk menyokong Noraini.
“Pada saya ini tindakan desprado.
“Peluang membuktikan keberhasilan kepimpinan selama lima tahun telah diberikan. Wanita UMNO adalah organisasi yang serius dalam perjuangan dan banyak pengalamannya. Organisasi ini bukan seperti sayap muda – Puteri dan Pemuda UMNO.
“Berbaki 11 hari lagi tempoh memilih, saya suka mencadangkan alternatif nakhoda bagi kapal besar ini diserahkan kembali kepada nakhoda bernama Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. Beliau terbukti boleh memimpin dan masih ada auranya tersendiri.
“Semoga selepas 11 Mac nanti, siapa pun yang menang akan merapatkan semula barisan, bergerak bebas dan terbang tinggi bagi mengiktiraf peranan dan menjuarai isu-isu wanita di Malaysia mahupun peringkat antarabangsa,” tegasnya. -MalaysiaGazette
Laaaa yg ketua wanita UMNO Melaka ni pun teruk! PRU semua kerusi parlimen Melaka kalah…nak pilih Shahrizat? Dia sendiri pun kalah…hadooii dah kalah tak sedar diri plak tu