Mohd Mukhti (tiga dari kanan) menyerahkan risalah program kepada peserta, Mohd Norissamuddin Mat Isa.

KUALA PILAH – Seramai 50 belia dari seluruh negara menyertai Program Ilmu Asas Malim Gunung dan Ikhtiar Hidup anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Pertubuhan Siap Siaga Rembau serta Persatuan Peduli Waghih Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Program yang memfokuskan pembangunan modal insan dalam kalangan belia itu memberi tumpuan menimba ilmu sebagai pemandu arah atau lebih dikenali sebagai malim gunung.

Antara latihan dan modul yang diberi penekanan ialah pertolongan cemas, langkah keselamatan dan menyelamat ketika berlaku kecemasan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling untuk ikhtiar hidup ketika berada di dalam hutan.

Selain itu, kursus kemahiran yang berlangsung selama dua itu turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai ilmu perhutanan seperti mengenal tumbuhan liar, jerat serta lokasi yang boleh dijadikan tempat perlindungan ketika berada dalam hutan serta berlaku kecemasan.

Peserta mendengar taklimat daripada Pendekar Rimba yang juga Jurulatih Survival Gerup Gerakhas, Mohd Sofian Ujan Empatie sebelum memulakan aktiviti latihan.

Program ini melibatkan penyertaan belia berumur 18 hingga 45 tahun yang diadakan di Hutan Simpan Gunung Angsi, Negeri Sembilan.

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, program seumpama ini secara tidak langsung membantu memberi pendedahan kepada masyarakat dalam menjalankan aktiviti mendaki gunung dan perkhemahan secara selamat, tersusun serta memberi pengalaman menghadapi situasi sukar ketika berada dalam hutan.

Katanya, program Ilmu Asas Malim Gunung dan Ikhtiar Hidup ini merupakan sebahagian daripada inisiatif YBR yang telah diuruskan melalui persiapan rapi, yang mana setiap peserta harus mengikuti pelbagai modul lengkap, dibekalkan peralatan mencukupi serta mendapat khidmat tenaga pengajar profesional yang terlatih dan berpengalaman.

“Program ini turut mendapat sokongan dan diberikan latihan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Perhutanan.

“Sementara itu, galakan dan dorongan perlu diberikan kepada golongan muda ini bagi melahirkan generasi yang lebih sihat dengan menguatkan stamina dan kecergasan melalui aktiviti luar seperti mendaki dan perkhemahan serta memantapkan kesihatan fizikal dan mental,” katanya.

Turut hadir, Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman dan Pegawai Bomba Kanan (PBK) Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti, Mohd Syazwan Saidy.

Peserta dari seluruh negara yang menyertai Program Ilmu Asas Malim Gunung dan Ikhtiar Hidup YBR.

Beliau berkata, aktiviti seperti pendakian pada waktu malam juga melatih peserta membiasakan diri serta melatih selok-belok berada dalam hutan yang hanya diterangi cahaya bulan dan melihat sendiri situasi yang boleh berlaku serta apakah langkah yang perlu dilakukan bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Jelas Syaiful Rizal lagi, usaha ini diharapkan menjadi salah satu strategi dalam membuka serta mempelbagaikan peluang menambah pendapatan di kalangan belia dalam mengatur perancangan masa hadapan khususnya kepada mereka yang meminati aktiviti lasak melalui sukan mendaki gunung.

“Mereka boleh menjadikan profesion Malim Gunung sebagai pekerjaan sepenuh masa atau sebagai pekerjaan sambilan dalam menambah sumber pendapatan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, sepanjang tahun lalu, seramai 33,903 penerima manfaat telah menyertai program modal insan anjuran YBR dengan jumlah peruntukan kira-kira RM2.6 juta melibatkan 72 program.

YBR turut berharap dengan penganjuran program seperti itu sedikit sebanyak dapat membentuk kepimpinan serta jati diri di kalangan belia yang bertanggungjawab, mempunyai pelbagai kemahiran dan pengetahuan am, di samping melahirkan belia berkualiti. – MalaysiaGazette