Foto Instagram Bront Palarae.

KUALA LUMPUR – Pelakon hebat, Bront Palarae terus menjadi pilihan Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) apabila dilantik duta buat kali keempat dalam penganjuran festival kali keenam itu.

Serentak itu, pemenang Persembahan Watak Utama Lelaki-Digital untuk lakonan dalam siri The Bridge 2 pada Anugerah Televisyen Asia ke-25  mahu membantu untuk menjalinkan hubungan dengan komuniti antarabangsa apatah lagi pemain industri kini memasuki era pasca wabak Covid-19.

“Tidak ada keperluan yang lebih besar untuk semua pembikin filem dan penggiat industri untuk lebih bersemangat dan kreatif dalam industri ini.

“Saya sangat berharap wabak dalam tempoh tiga tahun yang lalu tidak membuat pengkarya hilang keyakinan dalam filem, tetapi sentiasa menantikan detik ini dan bersedia untuk memulakan sesuatu yang baharu daripada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, BMW Group Malaysia telah mengumumkan usaha samanya dengan MIFFest untuk edisi BMW Shorties yang ke-17 yang berhasrat untuk mengangkat pembikin filem dan konten digital tempatan ke aras yang lebih tinggi dengan meluaskan peluang untuk mereka menempa nama di persada antarabangsa.

BMW Group Malaysia telah mengumumkan usaha samanya dengan MIFFest untuk edisi BMW Shorties yang ke-17.

Sementara itu, MIFFest telah mengumumkan acara festivalnya yang akan datang, mengambil tempat dari 23 hingga 29 Julai ini dengan susunan aneka program sepanjang minggu tersebut, ia termasuk tayangan filem, kelas pakar dan peluang untuk berhubung dengan warga industri.

Pemenang hadiah utama bagi pertandingan BMW Shorties 2023 akan dianugerahkan sebuah geran produksi bernilai RM 80,000 untuk pembikinan filem pembiayaan BMW Shorties mereka.

Di samping itu, pelbagai faset pembikinan filem juga akan diiktiraf melalui kategori penganugerahan seperti Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Suntingan Terbaik, Rekaan Bunyi Terbaik, Anugerah Pilihan Popular, serta Anugerah Filem Pendek Terbaik oleh Pelajar.

Serahan penyertaan akan dibuka dari 1 April ini ngga 21 Mei depan pukul 6,00 petang di laman sesawang MIFFest di https://www.mgga.com.my dan laman sesawang BMW Shorties di www.bmwshorties.com.my. Ikuti laman Facebook dan Instagram rasmi BMW Shorties untuk perkembangan terkini, atau tonton aneka filem pemenang dari tahun-tahun yang lalu di saluran YouTube rasmi BMW Shorties. – MalaysiaGazette