KUALA LUMPUR – Tular satu video yang didakwa seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu memperlekehkan menu Rahmah yang dibeli oleh beliau.
Menurut pelayar Twitter, Shahbudin Husin, Exco tersebut adalah Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai.
“YB Hanafiah Mat, Exco Terengganu, dia cuba nak perlekeh menu Rahmah tapi sebenarnya telah menghina rezeki daripada Tuhan,” ciap Shahbudin di Twitter.
Dalam video berdurasi 18 saat itu, Hanafiah dilihat mempamerkan menu Rahmah yang dinikmati beliau sambil berungut menu berkenaan tidak berkuah.
“Ikan seekor, sayur kuah tidak ada pula. Ni kuah dia (sambil menuangkan teh kosong di dalam pinggan).
“Jadilah, baru rasa nasi. Bismillahirrahmanirrahim,” kata beliau dalam video berkenaan.
Minggu lalu, sebanyak 29 buah kedai makan dan restoran di Terengganu menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 seperti yang diperkenalkan kerajaan.
Daripada 29 buah premis berkenaan, sebanyak 17 di Kuala Terengganu, tiga di Kuala Nerus, dua di Marang, Kemaman, Dungun dan Besut serta satu di Hulu Terengganu. – MalaysiaGazette















