KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk mendapatkan sementara pasportnya untuk menghadiri upacara pengebumian bapa saudara.
Bagaimanapun Hakim Azura Alwi meletakkan syarat supaya pasport itu akan dikembalikan kepada Guan Eng hari ini dan perlu dipulangkan semula kepada mahkamah sebelum atau pada 10 Mac ini.
Ketika prosiding hari ini, mahkamah dimaklumkan oleh peguam bela mewakili Guan Eng, Syafiqah Sofian, Ahli Parlimen Bagan itu memerlukan pasport untuk masuk ke Singapura selama dua hari.
“Pada jam 6 petang, 1 Mac lalu, anak guam dimaklumkan bahawa bapa saudara, Lim Kit Hee, meninggal dunia. Oleh itu, Guan Eng mahu menghadiri upacara pengebumian mendiang di Orchid Hall, Singapura esok.
“Kita mohon kepada Yang Arif supaya membuat pertimbangan memandangkan anak guam kami tiada risiko melarikan diri kerana dikenali ramai sebagai Pengerusi DAP dan seorang wakil rakyat.
“Beliau juga telah dikenakan jaminan tinggi iaitu RM1 juta dan tidak pernah gagal menghadiri prosiding mahkamah kecuali sakit atau perlu ke Parlimen,” hujahnya.
Pendakwaan tidak membantah permohonan dikemukakan oleh tertuduh.
Ketika ini, Guan Eng sedang berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.
Ini untuk Zarul mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, di Tingkat 28, Komtar, Georgetown antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat sebagai penghargaan mendapatkan projek itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.
Guan Eng turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut. -MalaysiaGazette
















