Pengurus Inspired Kitchen merangkap graduan Sijil Kulinari Khas Kolej Komuniti Selayang, Mohd Hanif Naufal Mohd Mazhi menyediakan minuman selepas temubual bersama Malaysia Gazette berkenaan Program Pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Kolej Komuniti Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 NOVEMBER 2020.

DALAM pembentangan Bajet 2023, antara yang sering di laporkan media arus perdana ialah berkenaan isu peluang pekerjaan, gaji bermaruah dan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET). Kesemua ini mempunyai kaitan rapat dengan keperluan semasa golongan belia yang mahukan masalah mereka di selesaikan dengan segera.

Kekurangan tenaga kerja di pelbagai sektor khususnya sektor perkilangan telah menyebabkan kerajaan membuka kemasukan pekerja asing termasuk mewujudkan dan melaksanakan pelan kelonggaran kemasukan pekerja asing kepada lima sektor atau subsektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).

Kita dapat melihat begitu bersungguh industri berjuang untuk kemasukan dan penggajian pekerja asing yang akhirnya mendapat sokongan dari kerajaan. Tetapi kesungguhan itu tidak begitu di rasai apabila kerajaan meminta industri terlibat penuh dan menerajui latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang secara tidak langsung perlu membuat pelaburan dalam membangunkan modal insan berkemahiran di kalangan golongan belia.

Industri di Malaysia dilihat memegang stereotaip negatif mengenai persepsi dan keupayaan belia kita dari segi produktiviti, sikap dan kemahiran. Semua pihak mengakui bahawa golongan belia mempunyai bakat dan potensi yang besar termasuk melonjakkan ekonomi negara melalui tenaga kerja berkemahiran. Cuma, bagaimanakah industri dapat memanfaatkan tenaga, semangat, dan komitmen belia? Bagaimanakah suara belia di dengari, bakat dan potensi mereka di beri penghargaan atau pengiktirafan dan adakah masalah mereka di selesaikan dengan segera? Kunci kepada persoalan ini ialah pentingnya keserakanan belia-dewasa (Youth-Adult Partnership) di terjemahkan di tempat kerja

Berdasarkan usaha di lapangan sepanjang tahun 2022, Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) telah mewujudkan platform Projek Belia Mahir yang berjaya membantu seramai 4000 orang belia berumur 18-35 tahun untuk bekerja dan menerima latihan di tempat kerja di pelbagai sektor termasuk perkilangan dan perkhidmatan.

DI bawah platform Projek Belia Mahir ini, terdapat dua program iaitu Penggantian Pekerja Asing (Replacement of Foreign Workers) dengan kerjasama Malaysia Productivity Corporation (MPC), agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Skill for Youth (S4Y) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sebanyak 4o industri pelbagai saiz menyokong penuh usaha ini termasuk menerajui latihan kemahiran ditempat kerja manakala soal pemantapan sahsiah pekerja dilakukan oleh PKPB untuk tempoh tiga bulan di sepanjang mereka bekerja. Kolaborasi begini adalah tonggak utama dalam usaha pengekalan belia bekerja dan melihat halatuju pembangunan kerjaya dengan lebih jelas.

Pendekatan kerjasama ini mengutamakan keserakanan (kesatuan prinsip; kebersamaan) belia-dewasa di tempat kerja. Keserakanan yang benar adalah di mana setiap pihak mempunyai peluang untuk membuat cadangan dan keputusan, manakala sumbangan masing-masing diiktiraf dan dinilai. Keserakanan ini adalah salah satu di mana orang dewasa yang berpengalaman di tempat kerja bersedia untuk bekerja dan melatih belia manakala belia pula melihat tempat kerja bukan sekadar bekerja menerima gaji bulanan tetapi sebagai tempat latihan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Industri yang tidak melihat kepentingan membangunkan bakat muda tidak akan kekal relevan di mata generasi muda walaupun mempunyai jenama besar. Golongan belia hari ini mahukan kehidupan yang berkualiti dari segi pendidikan, latihan, kesihatan termasuk juga pekerjaan. Namun, meletakkan tanggapan ini suatu tuntutan berlebihan adalah kesilapan besar dalam menarik minat belia beekrja.

Keserakanan di tempat kerja akan menjadi kesilapan jika industri mengandaikan bahawa satu -satunya manfaat dari perkongsian ini terakru kepada belia. Hakikatnya, faedah besar menanti industri di mana kecekapan dan tenaga belia mencerminkan kumpulan ini sebagai penyumbang penting.

Industri perlu ada keyakinan dalam memberi komitmen dan yakin produktiviti dapat di tingkatkan dengan bekerja bersama golongan belia. Memahami keperluan dan keprihatinan terhadap golongan belia serta menerima idea baharu dari perspektif berbeza akan menjadikan suasana kerja lebih menyeronokkan dan kecintaan tinggi kepada organisasi.

Apa yang perlu di lakukan ialah memecahkan stereotaip negatif terhadap belia dan inilah rahsia bagaimana Projek Belia Mahir mampu menyantuni belia untuk bekerja. Jika ini mampu dilakukan oleh semua pihak khususnya industri dengan sokongan kerajaan dan penyedia latihan, hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri agar industri menjadi peneraju TVET akan memberi impak besar dan mengubah lanskap latihan di negara ini.

Mohammad Rizan Hassan
Setiausaha Agung
Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran