Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berlepas ke Turkiye dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi untuk melaksanakan misi bantuan mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria. Foto Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man.
KUALA LUMPUR – Seramai tujuh ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berlepas ke Turkiye dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi untuk melaksanakan misi bantuan mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, misi berkenaan adalah bagi menyalurkan bantuan pasca gempa bumi dengan memfokuskan penyediaan rumah sederhana kekal daripada kontena, bantuan makanan serta pakaian untuk musim sejuk.
“Seramai 10 orang telah bertolak ke Gaziantep dan Kahramanmaras, Turkiye malam tadi untuk menyampaikan sumbangan yang telah tuan-tuan, puan-puan sumbangkan untuk mangsa gempa bumi Turkiye & Syria.
“Kami membawa bantuan keperluan musim sejuk seperti pakaian tebal dan makanan kerana keadaan di sana kini sangat sejuk.
“Kita akan mula pembinaan rumah kontena untuk mereka di sana. Sebuah kontena lebih kurang RM30,000. Justeru kita terus buka lagi peluang bagi yang ingin menyumbang,” tulisnya di Facebook miliknya hari ini.
Berdasarkan jadual, misi ini akan ke dua lokasi iaitu Gaziantep dan Hatay dan dijangka pulang ke tanah air pada 7 Mac.
Sebanyak RM350,000 diperuntukkan dalam misi bantuan ini hasil sumbangan daripada ahli Parlimen PN dan juga orang awam.
Orang ramai yang ingin membantu boleh boleh menghulurkan sumbangan melalui akaunMaybank Islamic : PASRELIEF : 5640-7061-2333.
PASRelief merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa parti itu yang akan bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi tersebut. – MalaysiaGazette