Tangkap layar pemandu Alphard yang memandu di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan pemandu sebuah Toyota Alphard yang didakwa memandu di laluan lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan selepas rakaman video yang memaparkan insiden itu tular semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian itu disedari selepas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya melalui video berdurasi 25 saat yang tular di media sosial WhatsApp.

“Video itu  memaparkan sebuah kenderaan Alphard telah dipandu di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan di sini menghala Kuala Lumpur berhampiran Amcorp Mall.

“Ekoran insiden itu, satu laporan polis telah diterima dan polis membuka kertas siasatan bersabit kes ini untuk membantu siasatan serta tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes berkenaan sedang di siasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,

“Pada masa yang sama polis menyeru pemilik atau pemandu kereta yang terlibat dalam insiden di lorong motosikal itu untuk tampil segera membantu siasatan polis,” katanya.

Mana-mana saksi yang telah melihat kejadian tersebut jugak diseru agar tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011-32311232 bagi membantu siasatan.

Mohamad Fakhrudin berkata, polis mendapati pemandu Alphard itu sedikitpun tidak mengambil inisiatif segera untuk keluar dari lorong motosikal walaupun melalui beberapa simpang.

Sebaliknya, pemandu itu meneruskan pemanduan di lorong tersebut walaupun tiba ke terowong laluan motosikal tersebut seolah-olah tidak mengendahkan aspek keselamatan penunggang motosikal. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Maknanya betullah kajian yg dijalankan kebanyakkan pemandu yg memandu kenderaan mewah rata rata mempunyai IQ rendah.

Comments are closed.