Gambar hiasan

BULAN Ramadan yang dinanti-nantikan oleh semua umat Muslim hampir tiba. Ini bermakna bahawa bazar Ramadan juga akan beroperasi tidak lama lagi!

Semua peniaga pastinya gembira bila ketahui bahawa permohonan permit untuk membuka gerai di Bazar Ramadan telah dibuka. Bagi peniaga yang ingin memohon permit, anda harus memastikan bahawa anda telah mengambil vaksin tifoid. Permit tidak akan diluluskan bagi mereka yang gagal mendapatkan vaksin tifoid. Ianya tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 bahawa semua pengendali makanan perlu mendapatkan suntikan vaksin tifoid.

Menurut Ruba Sundaram Muthusamy, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pemeriksaan mengejut dilakukan setiap hari sepanjang tempoh operasi bazar Ramadan. Kegagalan mendapatkan vaksin tifoid boleh dikompaun sehingga RM5,000.

Adakah Tifoid Berbahaya?

Menurut Dr Mohd Hanif Zailani, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ketua Sektor Penyakit Cegahan Vaksin/ Bawaan Makanan dan Air, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, tifoid atau demam kepialu adalah sejenis penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa, disebabkan oleh bakteria ‘Salmonella typhi’ dan biasanya merebak melalui makanan dan minuman yang tercemar.

Beliau berkata, gejala demam tifoid tidak berlaku serta-merta. Ia biasanya mengambil tempoh satu atau dua minggu selepas seseorang dijangkiti. Demam panas berpanjangan, badan lemah dan lesu, sakit perut, sembelit atau cirit-birit, dan kadangkala ruam seperti bintik merah yang rata pada bahagian atas badan, merupakan gejala-gejala yang dikaitkan dengan demam tifoid.

“Dalam kes-kes yang parah, demam tifoid boleh menyebabkan kebocoran usus dan pendarahan gastrousus. Ia juga boleh menyebabkan keradangan hati, pundi hempedu, jantung, dan otak serta radang paru-paru dan juga kematian”. Dsebabkan inilah demam tifoid tidak boleh diambil mudah dan harus diberi rawatan awal untuk mengelakkan kesan-kesan yang teruk berlaku akibat penyakit ini”, tegasnya.

Tanggungjawab Anda Kepada Masyarakat Sebagai Pengendali Makanan “Sebagai pengendali makanan, anda memainkan peranan penting dalam mencegah penularan demam tifoid”, jelas Ruba dari FSQD, KKM. Adalah menjadi tanggungjawab anda untuk mengendalikan makanan secara selamat untuk mengelakkan pencemaran makanan dan penyebaran penyakit bawaan makanan dan air seperti demam tifoid.

Penyakit ini lazimnya berjangkit melalui pengambilan makanan atau minuman yang tercemar dengan najis seseorang yang menghidapi penyakit tifoid. Selain itu, penting untuk semua ambil perhatian bahawa sesetengah individu boleh menjadi pembawa tanpa menunjukkan sebarang gejala. Ini bermakna secara tidak sedar, mereka boleh menyebarkan penyakit ini!.

Demam tifoid mudah menular dan boleh menyebabkan wabak, oleh itu pencegahan adalah sangat penting. Ia boleh dicegah melalui peningkatan sanitasi, pengendalian makanan dan minuman yang selamat, serta pengambilan vaksinasi tifoid. Suntikan vaksin tifoid digalakkan untuk diambil sekurang-kurangnya dua minggu sebelum anda membuka gerai supaya ia berkesan untuk mencegah jangkitan dan seterusnya penularan demam tifoid. Imuniti yang anda perolehi daripada vaksinasi tifoid akan berkurangan dari semasa ke semasa. Oleh itu, anda dikehendaki untuk mendapatkan dos penggalak vaksin tifoid setiap dua tahun.

Disebabkan oleh perintah berkurung sepanjang pandemik Covid-19, keberkesanan vaksin demam tifoid yang telah diberikan sebelum ini sudah berkurangan, oleh itu pengendali
makanan harus mengambil dos penggalak vaksin tifoid. adi, pastikan anda menjadualkan vaksin anda secepat mungkin!. Vaksinasi tifoid boleh didapati di kebanyakan klinik dan hospital swasta, serta di beberapa majlis perbandaran tempatan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada majlis perbandaran tempatan anda.

Tip-tip praktikal untuk pengendali bazar Ramadan

Menurut Dr Hanif, penyakit bawaan makanan dan air seperti keracunan makanan juga kerap berlaku di bazar Ramadan. Pada tahun 2020, satu insiden keracunan makanan di Terengganu berlaku disebabkan puding buih yang tercemar melibatkan 99 kes dan 1 kematian. Pengendali makanan di bazar Ramadan harus mengamalkan pengendalian makanan dan minuman yang selamat untuk mencegah risiko pencemaran makanan.

“Gunakan pakaian bersih, penutup kepala dan apron berwarna cerah tanpa poket. Jangan pakai barang kemas kerana ia boleh menyebabkan pencucian tangan yang tidak
bersih dan memerangkap kotoran yang boleh mencemarkan makanan.

“Sarung tangan, jika dipakai, mesti diganti selepas menggunakan bilik air, merokok, batuk, bersin, mengendalikan bahan mentah atau makanan, dan sekiranya ia terkoyak. Selain itu, jangan merokok semasa penyediaan dan pengendalian makanan.

“Pastikan anda mempunyai jadual pembersihan supaya anda membersihkan premis anda sepanjang tempoh operasi tanpa gagal. Akhir sekali, pastikan hanya mereka yang telah menghadiri Latihan Pengendali Makanan dari Institusi Latihan Pengendali Makanan yang diiktiraf oleh KKM dan sudah mendapatkan suntikan vaksin tifoid sahaja dibenarkan menyediakan makanan di gerai anda,” kata Ruba.

Kesihatan dan keselamatan pelanggan, keutamaan peniaga

Dr Suhazeli Abdullah, Pakar Perubatan Keluarga dan Pengamal Kesihatan Am juga menambah tentang jangkitan penyakit seperti demam tifoid semasa bulan Ramadan. Beliau berkata, selain kesan kesihatan yang negatif, demam tifoid juga boleh menjadi kesulitan bagi seseorang individu untuk menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Anda boleh menyebabkan diri anda atau orang lain tidak dapat berpuasa penuh kerana jatuh sakit.

“Memilih untuk tidak mengambil vaksin walaupun anda sudah mengetahui bahawa ianya wajib untuk semua pengendali makanan adalah kelakuan yang tidak jujur ​​dan bukan sesuatu yang elok dilakukan oleh seorang Muslim, terutamanya pada bulan Ramadan.

“Dalam al-Qur’an, Allah berfirman ‘Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)’ Surah Al-Baqarah, ayat 195. Terdapat juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain’ (riwayat Ibn Majah)”.

Sebagai umat Islam yang bertangunggjawab, haruslah kita lakukan apa yang baik untuk diri kita dan masyarakat,” nasihat beliau. Semua pengendali makanan harus menyedari kepentingan peranan anda untuk mencegah penularan penyakit bawaan makanan dan air seperti demam tifoid. Walaupun kepuasan pelanggan adalah perkara yang anda akan perjuangkan, kesihatan dan keselamatan pelanggan haruslah menjadi keutamaan anda.

Kami mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

Artikel ini disumbangkan oleh Immunise4Life – Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia.
Ini suatu inisiatif utama yang mempromosikan vaksinasi sepanjang hayat.