KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia berdasarkan takrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.
Kataya, kerajaan akan terus menguruskan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik dengan memudah cara pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal.
“Untuk tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan sehingga RM64 bilion dalam bentuk bantuan serta subsidi keperluan hingga insentif menerusi program rahmah yang dijangka memberi manfaat kepada sembilan juta rakyat Malaysia dengan nilao bantuan sehingga RM300,000.
“Di bawah agenda payung rahmah ia membangtu meringankan beban kos sara hidup melalui program Menu Rahmah dan jualan rahmah yang menawarkan harga 30 peratus lebih murah berbanding harga di pasaran,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (Pas-Bagan Serai) yang mahu kerajaan menyatakan pelan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku tahun ini.
Idris turut bertanya sama ada kerajaan menyediakan insentif dan bantuan seperti subsidi upah, geran khas perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bantuan-bantuan lain seperti yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bagi sektor PMKS pelbagai geran, kemudahan pinjaman dan oembiayaan dengan peruntukan hampir RM40 bilion tahun ini diberikan oleh kerajaan dalam usaha membantu usahawan PMKS berdaya saing selepas terkesan dengan Covid-19.
Tambahnya kerajaan turut menurunkan kadar cukai PMKS iaitu pada 17 peratus bagi RM150,000 pendapatan bercukai.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Idris samada akan akan berlaku lagi kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada tahun ini, Ahmad berkata, semua pihak perlu menunggu mengenai keputusan itu.
Katanya, kerajaan telahpun menurunkan Kadar Dasar Semalam (OPR) seblum ini kepada 1.75 peratus dan antara punca penurunan itu adalah untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Saya telah menyebut tadi bantuan kerajaan telah berikan. Ada banyak lagi bantuan yang kerajaan berikan tetapi adakah OPR ini akan dinaikkan pada masa akan datang? Kita tunggu.
“Yang penting dengan kenaikan OPR daripada 1.75 kepada 2.75 itu telah berjaya mengekang kadar inflasi.
“Dijangka kadar inflasi pada tahun ini ialah 3.3 peratus lebih rendah daripada sebelum ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette