KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin mendakwa manifesto yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) adalah retorik semata-mata.
Muhyiddin berkata, banyak cadangan-cadangan dalam manifesto PH tidak ditunaikan sehingga kini dan jalan ke arah itu masih belum digarap.
“Saya membuat perbandingan Bajet (Ahli Parlimen) Tambun dengan manifesto PH terdapat janji dalam manifesto tersebut yang tidak ditepati ataupun disentuh langsung di dalam Bajet 2023. Cukuplah jika saya sebutkan yang utama sahaja iaitu dana peruntukan kawasan sama rata kepada semua Ahli Parlimen, tidak ada.
“Kedua komitmen kerajaan untuk menghapuskan kartel bahan makanan dan keperluan asas bagi membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau juga tidak ada.
“Ketiga janji dalam pendidikan seperti program pemansuhan hutang bersasar khas untuk golongan miskin dan isirumah B40 pun tidak ada.
“Memperkenalkan program biasiswa B40 dan menambah program sarapan percuma pun tidak ada, ini semua tidak disentuh dalam perbentangan Bajet 2023 mungkin tidak penting Tambun. Saya nak tanya beranikah Tambun untuk mengakui janji-janji dalam manifesto PH sekadar retorik sahaja,” katanya dalam sesi perbahasan perbentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Muhyiddin berkata, parti gabungan dalam kerajaan perpaduan iaitu Barisan Nasional (BN) juga masih belum memperlihatkan cadangan dalam manifesto mereka untuk direalisasikan.
“Ini termasuk BN yang memperkenalkan dalam manifesto skim bantuan pendapatan asas di mana kerajaan dikatakan kerajaan akan kreditkan topup automatik kepada semua akaun isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang RM2,208, itu dalam manifesto, mungkin tidak digunakan lagi sekarang,” katanya.
Perbahasan Muhyiddin dalam pada itu menerima gangguan daripada Ahli Parlimen penyokong kerajaan.
Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bingkas bangun mempertikaikan kenyataan Muhyiddin yang mendakwa fakta yang dikemukakan Muhyiddin adalah tidak benar.
“Tapi (Ahli Parlimen) Pagoh fakta tidak betul. Perlu ditegaskan,” celah Tze Tzin.
Muhyiddin bagaimanapun tidak membenarkan celahan itu dan meneruskan perbahasan beliau.
“Saya terpaksa bergegas balik ke Pagoh sebab kawasan saya ditenggelami banjir,” kata Muhyiddin.
Dalam pada itu, Muhyiddin mencadangkan agar kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peruntukan khas yang sama kepada semua Ahli Parlimen yang kawasan mereka dilanda banjir.
Tambah Muhyiddin, ia perlu bagi memastikan peruntukan itu dapat disalurkan kepada semua rakyat yang menjadi mangsa banjir di kawasan masing-masing.
“Saya mencadangkan agar kerajaan meluluskan kelulusan segera peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen yang kawasan mereka dilanda banjir termasuk Ahli Parlimen pembangkang.
“Peruntukan ini boleh digunakan oleh mereka untuk bantuan segera kepada mangsa banjir, saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah meluluskan segera RM50 juta ke negeri Johor tapi saya cadangkan kepada RM100 juta kerana banjir pada kali ini amat teruk sekali,” katanya. – MalaysiaGazette