Coklat Toblerone

BERN – Toblerone, jenama coklat Switzerland terpaksa menukar gambar puncak gunung Matterhorn dari kertas pembungkusannya kerana beberapa pengeluarannya akan dipindahkan ke Slovakia.

Coklat bar berbentuk piramid, yang menggambarkan puncak pergunungan Alps, akan melakukan pembaharuan label termasuk tandatangan pengasasnya.

Pengeluarnya, Mondelez International berkata, imej gunung 4,478 meter itu akan digantikan.

Menurutnya, simbol kebangsaan juga tidak dibenarkan digunakan untuk mempromosikan produk berasaskan susu yang tidak dibuat secara eksklusif di Switzerland.

Mondelez berkata, firma itu meluaskan pengeluaran di luar negara susulan peningkatan permintaan di seluruh dunia, selain mengembangkan jenama Toblerone demi masa depan perniagaan.

Toblerone, coklat berbentuk gunung yang diperbuat daripada susu Switzerland dengan madu dan badam Nougat, pertama kali dijual pada tahun 1908 di Bern, ibu kota Switzerland.

Mondelez berkata, Bern adalah “bahagian penting dalam sejarah kita dan akan terus menjadi masa depan”.

Pada tahun 2016 Toblerone berdepan kontroversi apabila mengubah reka bentuk bar coklat dengan menghilangkan bentuk segitiga dalam usaha untuk mengurangkan kos.

Namun terpaksa mengekalkan bentuk asal selepas menerima banyak kritikan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast