KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana meluluskan usul tambahan tidak pertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden
Menurut Ahmad, kenyataan yang dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution hari ini membuktikan tidak ada pelanggaran dilakukan terhadap peraturan dan perlembagaan UMNO.
Menurut beliau, dengan keputusan yang dibuat oleh KDN membolehkan parti UMNO untuk terus bergerak ke hadapan.
“Terima kasih atas kenyataan ini. Saya sudah jelaskan yang tiada sebarang pelanggaran kepada peraturan dan perlembagaan UMNO berhubung usul PAU2022.
“Ini bukan kali pertama jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan. Maka kita terus melangkah kehadapan untuk mendekati dan membantu rakyat,” ciap Ahmad di Twitter.
KDN hari ini memutuskan untuk memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti tahun ini
Saifuddin berkata, pihaknya merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO mengenai usul tambahan berkenaan dan memberi pengecualian berdasarkan Seksyen 70 Akta 832.
“Kementerian meneliti mengenai ketetapan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO 2022 daripada Setiausaha Agung UMNO pada 3 Mac 2023,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan UMNO tahun ini diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 14 Januari lepas.
Ahad lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengesahkan usul berkenaan membuktikan keabsahan keputusan dibuat pada Perhimpunan Agung Umno 2022 seterusnya menamatkan polemik mengenainya. – MalaysiaGazette