SEPANG – AirAsia menawarkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap Balik Raya sempena Hari Raya Aidilfitri antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak bermula 19 April hingga 30 April 2023.
Harga tiket yang ditawarkan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri hanya RM199 sehala manakala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada RM249 sehala.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau berbesar hati kerana syarikat tambang murah itu terus komited menyokong inisiatif kerajaan untuk menurunkan tambang penerbangan semasa musim perayaan, meskipun terdapat kekangan operasi.
“Jumlah penerbangan tambahan yang disediakan Air Asia adalah sebanyak 62 penerbangan untuk 11 laluan di antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru untuk ke Sabah dan Sarawak.
“Sarawak ada empat lokasi (Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri) manakala di Sabah (Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau). Jumlah tambahan kerusi pula sebanyak 11,400 buah kerusi.
“Orang ramai boleh membuat tempahan tiket bermula 6 petang hari ini. Selain itu, AirAsia juga mengendalikan 292 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi yang sama,
“Namun kita harapkan penawaran yang diberikan adalah pada harga yang lebih berpatutan dan lebih seimbang untuk penerbangan lain,” katanya pada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran ‘Pengumuman Penerbangan Istimewa AirAsia ‘Balik Raya’ di ibu pejabat Air Asia, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anthony berkata, tawaran tambang rendah tetap yang disediakan syarikat penerbangan itu adalah sama ketika sambutan Tahun Baru Cina lalu dan berharap ia dapat dikekalkan pada musim perayaan lain akan datang.
“Saya difahamkan, semasa Tahun Baru Cina semua tiket yang ditawarkan itu semuanya habis terjual. Justeru itu, adalah penting untuk kita memastikan bahawa tambang penerbangan semasa musim perayaan untuk membantu meringankan beban mereka.
“Ini satu isu dan aduan (diterima) setiap kali menjelang musim perayaan, ramai mengeluh kerana ada tiket kapal terbang yang dynamic pricing (harga meningkat mendadak) disebabkan permintaan tinggi.
“Sehubungan itu, saya berharap kepada semua syarikat penerbangan lain dapat menyambut seruan ini dengan menambah kapasiti penerbangan supaya kita dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk balik ke kampung terutama di Sabah dan Sarawak pada hari raya nanti,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, kementeriannya akan berusaha menangani sebarang isu yang berkaitan dengan industri penerbangan bagi memastikan lebih banyak pesawat dapat kembali beroperasi.
Mengulas lanjut mengenai isu Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi atau aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dihentikan sementara pada 2 Mac lalu.
Anthony berkata, pihaknya bersama Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) akan menambah jumlah bas perantara sekiranya berlaku penambahan penumpang dari balai pelepasan ke terminal satelit.
Selain itu, ia akan beroperasi sepanjang masa, sama seperti pelaksanaan perkhidmatan aerotrain sebelum ini bagi mengambil dan menurunkan penumpang. – MalaysiaGazette