Arsalam Abdullah mengambil peluang berkhatan bersama anak-anaknya, Rashwan dan Rayyan.

KUALA LUMPUR – Seorang bapa mengambil keputusan untuk berkhatan bersama-sama dua orang anak lelakinya di Puchong Utama dekat sini baru-baru ini.

Arsalam Abdullah, 35, rasa terpanggil berbuat demikian sebagai tanda sokongan kepada anaknya,, Rashwan Arsalan, 11 dan Rayyan Arsalan, 7,  walaupun pada mulanya dia sekadar mahu menemani mereka.

Arsalam berkata, beliau terpanggil berbuat hal yang sama kerana seumur hidupnya tidak pernah berkhatan sejak memeluk Islam pada 1 November 2021.

Sebelum itu, beliau enggan  berkhatan memandangkan kadar bayaran bagi orang dewasa bagi perkhidmatan itu agak membebankannya.

“Bagaimanapun Pertubuhan Akademi Al Bayan bersama MyMedikal Healthcare dengan mulia hati telah tampil membantu golongan mualaf yang susah seperti kami.

“Jadi saya rebut peluang bawa anak-anak dan akhirnya terpanggil untuk melakukan berbuat hal yang sama apatah lagi ia adalah sunnah yang sangat dituntut dalam Islam,” katanya selepas kisah mereka mencuri tumpuan di media sosial.

Mereka menyertai program khatan yang dikenali sebagai ‘Sunathon Abang Mualaf’ di MyMedikal Healthcare, Bandar Puchong Utama yang merupakan anjuran Pertubuhan Akademi Al Bayan dengan pembabitan 50 saudara mualaf pelbagai bangsa berusia antara 7 hingga 72 tahun.

Sementara itu, selain Arsalam dan anak-anaknya, kelegaan yang sama turut diluahkan seorang warga emas, Osman@Yeah Kim Huat, 72, yang mengakui berdebar sewaktu prosedur berkhatan dilakukan.

“Alhamdulillah Allah permudahkan dan hari ini saya sudah melaksanakan satu lagi tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

“Berdebar ada, takut pun ada kerana kita sedia maklum berkhatan ini agak menyakitkan bagi seorang lelaki,” katanya yang berbangsa Cina.

Ahmad Andrew yang merupakan bekas maknyah gembira dapat melaksanakan ibadah khatan.

Sementara itu, Ahmad Andrew Muling, 47, turut meluahkan kesyukuran dan keterujaan kerana diizinkan Allah untuk melakukan ibadah sunat itu.

Dia yang berketurunan Iban, sebelum ini pernah bergelumang dalam dunia maknyah menemukan hidayah dan melafazkan kalimah syahadah pada 31 Disember 2021.

“Terlebih dulu saya sangat berterima kasih kepada MyMedikal Healthcare dan pihak Al Bayan kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhatan pada hari ini.

“Sebagai seorang Islam saya sangat bersyukur ke hadrat Allah kerana sudah melengkapi syarat seorang lelaki Muslim yang telah disunatkan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah AlBayan Global Sdn Bhd, Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, program Sunathon Abang Mualaf sebagai tanda meraikan saudara baru yang wajar mendapat perhatian masyarakat Islam setempat.

“Tidak mahu terlepas, Pertubuhan Akademi Al Bayan mengambil peluang ini untuk menjaga kebajikan dan keperluan mualaf kerana kami bukan sekadar menyediakan keperluan asas berbentuk bantuan dan makanan,

“Tetapi saya juga merangka satu inisiatif untuk menaja mualaf yang ingin melaksanakan kewajipan berkhatan kerana khatan merupakan suatu kewajipan untuk dilaksanakan oleh setiap orang Islam.

“Hal ini kerana, hikmah pensyariatan khatan adalah untuk menjaga kesucian dan kebersihan secara luaran mahu pun dalaman senagaimana firman Allah dalam al-Quran,” katanya.

Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (kiri) bergambar kenangan bersama peserta yang mengambil bahagian dalam ‘Sunathon Abang Mualaf’.

Tambah Nur Mohammad Hadi, melalui sumbangan orang ramai, Pertubuhan Akademi Al Bayan telah memanfaatkan wang berkenaan dengan melaksanakan program yang membawa objektif utama untuk membantu mualaf yang kurang berkemampuan sekaligus membiayai kos rawatan berkhatan.

“Bagi golongan dewasa kos untuk berkhatan bermula dari RM500 hingga RM1,000 dan  disebabkan itu, Pertubuhan Akademi Al Bayan bersama MyMedikal Healthcare mengambil tanggung jawab bagi membantu golongan mualaf yang susah.

“Pada masa yang sama, Pertubuhan Akademi Al Bayan kini sedang dalam pembinaan pusat pengajian khusus untuk anak-anak mualaf bagi memberi bimbingan kepada mereka yang memeluk Islam.

“Kehadiran mereka bukan sahaja perlu diraikan bahkan kebajikan mereka juga perlu dijaga,” katanya yang juga anak kepada seorang mualaf. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast