Pengarah Urusan syarikat Prolink Marketing Sdn Bhd, Chandran Karunakaran selesai membuat aduan kepada SPRM Putrajaya petang tadi.

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat dikatakan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap seorang Hakim Mahkamah Rayuan selepas syarikat itu mendakwa tidak mendapat ‘keadilan’ dalam kes yang dihadapi baru-baru ini.

Pada Januari 2019, syarikat itu yang dikatakan terbabit dengan pertikaian berkaitan kemudahan kewangan ditawarkan sebuah bank mengheret institusi kewangan itu ke mahkamah.

Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam mengarahkan bank yang didakwa mengingkari kontrak serta cuai dalam mengendalikan kemudahan syarikat memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM289 juta kepada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun bank itu mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut ke Mahkamah Rayuan yang kemudian membenarkan permohonan itu dan mengenepikan penghakiman Mahkamah Tinggi dengan kos sebanyak RM80,000.

MalaysiaGazette difahamkan Pengarah Urusan syarikat Prolink Marketing Sdn Bhd, Chandran Karunakaran hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya salah seorang daripada hakim yang mendengar serta menghakimi prosiding itu disiasat.

Chandran mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan telah mencetuskan persepsi bahawa wujudnya konflik kepentingan serta elemen berat sebelah apabila rayuan itu didengar dan diputuskan oleh salah seorang hakim yang didakwa mempunyai keakraban dengan pihak perayu.

Beliau mendakwa, hakim itu juga menulis penghakiman tersebut sebelum  mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Untuk makluman, hakim berkenaan juga terlibat dalam satu kes berprofail tinggi sebelum ini.

“Bank berkenaan diwakili firma guaman yang juga merupakan ahli dalam Financial Stability Executive Committee Bank Negara Malaysia. Pada 30 Januari salah keputusan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Yang Arif Hakim yang memberikan keputusan ini sebenarnya pernah pernah berkhidmat di firma guman yang sama pada tahun 1991 – 1993 bersama-sama peguam mewakili bank berkenaan. Kita hanya tahu selepas keputusan kes ini dikeluarkan. Kami tidak pernah dimaklumkan langsung tentang hubungan antara hakim dengan firma dan kaunsel yang mengendalikan rayuan ini untuk pihak bank.

“Kami juga berpersepsi berlaku ketidakadilan dalam rayuan ini yang telah didengar oleh hakim berkenaan yang telah mengakibatkan serious miscarriage of justice. Kami juga berpersepsi hakim ini telah dimasukkan dalam korum rayuan ini secara sengaja deliberately memandangkan beliau bukan sebahagian daripada koram asal mendengar rayuan itu,” dakwanya.

Chandran telah membuat laporan polis berhubung perkara yang sama pada Februari lalu sebelum membuat laporan kepada SPRM petang tadi. 

Tambahnya, pihaknya memohon bagi mendapatkan satu penyelesaian adil dan saksama untuk syarikat mereka yang kini terbelenggu dengan tunggakan gaji pekerja dan berharap dapat beroperasi seperti biasa selepas ini.

“Satu-satunya harapan kami agar badan kehakiman di negara tercinta ini berpaksikan kebenaran dan tidak menindas mana-mana rakyat Malaysia atau organisasi.

“Kami memohon agar suatu siasatan terperinci dijalankan memandangkan keputusan yang adil dalam tindakan ini sepatutnya membolehkan syarikat beroperasi seperti sedia kala,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast