senjata
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan membuat keputusan secara peribadi berhubung pengecualian kepada UMNO berkaitan keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu.

Malah, beliau menegaskan, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh mencabar perkara itu di mahkamah.

Tegas beliau, pengecualian tersebut mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk penasihat undang-undang di kementeriannya.

“Penelitian dan memanggil peguam yang berkenaan untuk teliti dokumen dan minta dokumen tambahan dan sesuai dengan tanggungjawab dan fungsi tugas utama dia (peguam), dan dia mengangkat keputusan yang kita sedia maklum (pengecualian).

“Pada masa yang sama Seksyen 70 Akta (Pertubuhan 1966) ini juga memberi secara khusus kuasa kepada menteri untuk buat pengecualian,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Saifuddin enggan memperincikan ‘asas’ pengecualian, seperti yang diminta oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu).

“Sudah tentu YB pernah menjadi menteri di kementerian, kita ada penasihat undang-undang dan ianya bukan soal menteri secara peribadi membuat keputusan.

“Bila kita invoke perkara itu, pengecualian adalah terarah kepada pengecualian kepada pematuhan Seksyen 13 dalam Akta Pertubuhan.

“Pilihan seterusnya, jika pengadu tidak berpuas hati dan mengatakan menteri melampaui batas kuasa, pilihan yang ada adalah dia mesti mengemukakan asas pernyataan dan afidavit mengikut saluran undang-undang.

“Kami (KDN) akan diminta menjawabnya, dan kemudian mahkamah adalah saluran yang akan menentukannya,” ujarnya

Sebelum ini, Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan memaklumkan, KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu. – MalaysiaGazette