Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub beramah mesra bersama anak-anak yantim piatu selepas merasmikan menu Rahmah McDonald di McDonald's Mutiara Damansara. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2023.

PETALING JAYA – Penglibatan pengendali industri makanan terkemuka di negara ini membuktikan inisiatif kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah tidak berniat untuk menekan dan memaksa peniaga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, restoran-restoran terkemuka tidak diarahkan sebaliknya secara rela menyertai inisiatif itu demi membantu golongan B40.

“Kita tidak kacau pun (peniaga), KPDN tidak hantar penguat kuasa untuk arahkan peniaga supaya turunkan harga makanan, kalau tidak kami ambil tindakan. Bukan begitu konsepnya.

“Ini melalui libat urus melalui persetujuan bersama tanpa janji kepada pemain industri,” katanya ketika menyampaikan ucapan Pelancaran Menu Rahmah McDonald’s di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s, Melati Abdul Hai.

Selain itu, Salahuddin berkata, penjualan pelbagai makanan turut membuktikan menu berkenaan bukanlah tidak berkualiti seperti yang didakwa baru-baru ini.

“Penyertaan McDonald’s besar ertinya kerana membuktikan dan menafikan segala tomahan kononnya Menu Rahmah menekan peniaga kecil dan kerajaan seperti memaksa juga timbul isu peniaga kecil tidak mendapat keuntungan.

“Dengan penyertaan ini juga membuktikan Menu Rahmah bukan menu kelas rendah atau sengaja dibuat khusus untuk golongan B40 tetapi ia adalah menu premium,” tambahnya.

Dalam ucapannya, Salahuddin turut merakamkan penghargaan kepada syarikat penyedia makanan segera terkemuka tersebut kerana rela mengikuti jejak langkah restoran lain untuk menjual Menu Rahmah.

“Saya hanya mampu ketika itu cadangkan McD kemuka Menu Rahmah. Rupanya mereka pun memang berniat untuk ke arah membantu rakyat memerlukan B40 menerusi penjualan menu ini,” tambahnya.

Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 1,152 buah restoran  menjual Menu Rahmah tidak termasuk lebih 300 cawangan McDonald’s yang turut serta bermula hari ini.

Menu Rahmah McDonald’s menawarkan tiga pilihan berharga RM5 iaitu burger ayam, bubur ayam dan McEgg yang masing-masing disertakan dengan teh ais limau cawan kecil.

Menu ini boleh didapati sepanjang hari di semua cawangan McDonald’s seluruh negara.

Sementara itu, Salahuddin berkata, beberapa buah restoran besar bakal menyertai inisiatif jualan Menu Rahmah dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast