KUALA LUMPUR – SBZ Prima Sdn. Bhd. – pengeluar jenama TudungSiComel telah memperkenalkan rekan tudung khas untuk pelajar daripada peringkat prasekolah hingga sekolah menengah sempena sesi persekolahan akan datang.
Pengarahnya, Kapten (B) Syahruddin Zainul berkata, selain baju, kasut dan barangan lain, tudung menjadi satu keutamaan pilihan ibu-ibu khususnya untuk mencari yang kemas dan selesa di pakai agar anak-anak fokus dalam aktiviti pembelajaran di sekolah.
Justeru pihaknya memilih untuk lebih fokus dalam penghasilan tudung sekolah yang selesa dipakai dalam usaha menjadi peneraju pasaran di negara ini.
“Kami mengutamakan rekaan terbaharu berkonsepkan awning tudung on point supaya pelajar lebih kemas memakainya selain ia dijahit lebih singkat untuk murid prasekolah dan memudahkan mereka memasukkan tudung ke dalam baju.
“Pelajar akan memakai tudung dalam tempoh yang lama iaitu dari pagi hingga ke sesi petang dan mereka memerlukan tudung yang selesa sebagai kriteria penting setelah seharian berada di sekolah,” katanya dalam kenyataan.
Tudung yang dijual adalah dalam lingkungan harga mampu milik dengan anggaran antara RM16.90 hingga RM24.90 sehelai.
Syahruddin menambah, buat masa ini terdapat tujuh jenis tudung sekolah yang dihasilkan SBZ Prima antaranya adalah tudung sekolah awning scuba, tudung sekolah awning lembut, tudung sekolah berdagu getah, tudung prasekolah, tudung sekolah berdagu, tudung sekolah berdagu labuh dan tudung sekolah dua lapis.
“Kesemua tudung ini dipasarkan ke seluruh negara secara dalam talian dan melalui agen-agen dropship yang dilantik serta menggunakan website e-commerce untuk memudahkan pelanggan dan agen dropship membuat tempahan,” katanya.
Lebih menarik, kata beliau, syarikatnya juga menjahit anak tudung (inner rainbow) seragam untuk dipakai dengan tudung sekolah.
“Keistimewaan anak tudung yang dijahit menggunakan material dan warna yang sama dengan tudung, jadi ianya sesuai untuk dipakai ke sekolah.
“Sesetengah sekolah tidak membenarkan pemakaian anak tudung yang berwarna-warni jadi kami mengambil inisiatif menjahit anak tudung yang sesuai dan seragam dengan tudung sekolah,” ujarnya.
Syahruddin yang yang berasal dari Kedah bermula pada awal tahun 2013 yang mana ketika itu budaya bertudung seawal usia muda masih belum diterima secara meluas.
Ini mendorong minatnya untuk memperkasakan budaya bertudung pada peringkat awal umur kanak-kanak.
“Selepas lima tahun, saya mengambil keputusan untuk lebih fokus kepada penghasilan tudung sekolah yang selesa dipakai dan syarikat telah berjaya membekalkan hampir semua jenis dan warna tudung sekolah di Malaysia di bawah satu bumbung, “ ujarnya.
Beliau telah mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan lebih awal sebagai Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia itu kerana mahu meneruskan minatnya dalam bidang perniagaan.
“Selepas 10 tahun dalam bidang ini saya bersyukur kerana mengamalkan konsep berniaga secara organik berjaya mengukuhkan akar terlebih dahulu akhirnya membuahkan hasil kerana sambutan meningkat saban tahun dan kini sudah memasuki fasa pertumbuhan.
“Saya menggunakan pendekatan sentiasa mengemas kini setiap rekaan, mendengar aduan ibu bapa dan yang paling utama adalah maklum balas daripada si pemakai itu sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette