Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media semasa hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan terdapat campur tangan luar untuk menyelamatkan parti itu daripada diharamkan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usul tambahan jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan telah diputuskan oleh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 dan telah dibawa ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS),

“Tak ada campur tangan luar walaupun ada dua pengadu yang telah mencabar usul yang dikemukakan dalam PAU 2022 namun usul itu telah diteliti oleh Pengerusi Tetap yang mengikut semua peraturan dalam perhimpunan agung dan semua fasal dalam perlembagaan (parti).

“Perlu diketahui badan tertinggi dalam UMNO adalah PAU. Apabila PAU telah membuat keputusan dan ia diterima oleh lebih 95 peratus perwakilan.

“Namun kita masih lagi menyatuni aduan yang telah dibuat oleh dua ahli UMNO berkenaan.

“Kita juga terus berikan segala maklum balas diterima RoS dan kita merasakan ini bukan soal campur tangan oleh pihak luar bagi penyelesaian.

“Tapi ini adalah suatu klausa Akta Pertubuhan 1966 yang antara lain menyebutkan bahawa RoS perlu memberikan keabsahan terhadap sesuatu keputusan dan ini kita terima kerana ianya akta yang telah diluluskan oleh parlimen,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang berlangsung di lobi Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dakwaan beberapa bekas pemimpin dalam dan luar UMNO bahawa parti itu memerlukan campur tangan luar untuk menyelamatkan UMNO sebagai pandangan peribadi.

“Saya berasakan bahawa pandangan itu adalah pandangan peribadi di mana Seksyen 70 Akta pertubuhan 1966 (pula) adalah akta yang telah diluluskan oleh Parlimen.

“Sebagaimana disebutkan oleh Menteri Dalam Negeri kalau tidak berpuas hati dengan keputusan itu mereka boleh membuat aduan dan membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam menegaskan, ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat beliau boleh membawa isu tersebut ke mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan, Saifuddin berrkata KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti itu tahun ini.

Pengecualian itu diberi mengikut Seksyen 70 akta berkenaan yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta 832.

Bagaimanapun beberapa pihak mendakwa tindakan Saifuddin adalah sebagai langkah menyelamatkan UMNO daripada diharapkan oleh RoS.-MalaysiaGazette