KUALA LUMPUR – Meneruskan tradisi sepanjang Ramadan ini, kumpulan nasyid terunggul tanah air, Rabbani terus giat menyusun kegiatan seni mereka apabila terus menjadi pilihan untuk menghiburkan pengunjung ketika majlis berbuka puasa.
Tahun ini, Rabbani dipilih oleh Semenyih Eco Venture Resort & Recreation yang merupakan lokasi rekreasi yang akan membawa pengunjung kembali ke alam semula jadi dan jauh daripada kesibukan kota.
Pemilihan kumpulan itu sebagai artis dan juga rakan sinergi lokasi kerana kredibiliti, berpengaruh dan telah mencipta nama tersendiri dalam industri hiburan tanah air.
Mewakili rakan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang Ramadan di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation antaranya kerjasama dengan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) menyediakan program dalaman dan luaran.
Jelas beliau, selain majlis berbuka puasa, ia melibatkan Pakej Madrasah Ramadan dan Pakej Lailatulqadar.
“Alhamdulillah, Rabbani terus menjadi pilihan syarikat swasta dalam mengimarahkan bulan Ramadan nanti sebagai bukti kumpulan nasyid masih relevan dalam industri tanah air ini.
“Sebagai kumpulan nasyid senior, kami perlu menunjukkan contoh terbaik kepada kumpulan nasyid baru untuk terus yakin dan bersemangat meneruskan legasi nasyid tanah air.
“Untuk berjaya dan kekal relevan, kami perlu bermula dengan komitmen dan memberikan kerjasama yang baik kepada semua pihak agar dapat melahirkan kepercayaan dalam menjalankan tugas,” katanya.
Azadan memberitahu, Bufet Ramadan bersama Rabbani menyediakan lebih 200 menu masakan traditional Malaysia, Asia dan Timur Tengah terdiri dari satu pasukan pakar masakan yang berpengalaman.
Malah kata beliau, bufet itu bakal mencipta sejarah apabila muncul sebagai bufet Ramadan terbesar di Semenyih sepanjang Ramadan ini.
“Menyahut seruan kerajaan, Semenyih Eco Venture Resort & Recreation membawa tema Perkampungan Madani Ramadan Dihayati sempena bulan Ramadan ini.
“Ia juga bermatlamat menjadikan lokasi ini sebagai pusat pelancongan Madani terbesar di Malaysia dengan pelbagai aktiviti menarik yang sedia ada di sini.
“Pelbagai aktiviti seperti memanah, paintball, berbasikal, berkayak, aktiviti “high rope” seperti flying fox, wall climbing atau aktiviti yang lebih lasak seperti meredah hutan dan sungai dan juga ATV,” katanya. – MalaysiaGazette