Radzimah Mohd Radzi dan Pengurus Kanan PKZ, Datuk Halidan Md Daud membuat serahan van kepada Rumah Ngaji Barokah dan Maahad Al-Dirasat Ad-niyyah

KUANTAN –  ANIH Berhad  menyumbang dua kenderaan kepada institusi pengajian Islam, Rumah Ngaji Barokah dan Maahad Al-Dirasat Ad-niyyah (MADAD) bagi penduduk sekitar Temerloh dan Jerantut.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, serahan van itu dilakukan menerusi Program Amal Zakat & Wakaf dengan kerjasama Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Majlis Ugama Islam & Adat Istiadat Melayu Pahang (MUIP) dan Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP).

Program tersebut yang bakal memanfaatkan kira-kira 18 masjid dan institusi Islam  yang akan menerima hasil kutipan zakat perniagaan berjumlah RM120,000 di negeri itu.

“Saya berharap sumbangan ini dapat memudahkan urusan kedua-dua institusi ini dan memberi manfaat kepada penduduk Temerloh dan Jerantut khususnya.

“Sokongan ini akan memberi impak yang bermakna kepada kedua-dua institusi. ANIH Berhad bersyukur kerana berpeluang menyumbang semula kepada komuniti kami melalui program yang dijayakan bersama rakan kongsi kami, MUIP dan PKZP”, kata Radzimah.

Jelasnya,  sebagai warga korporat yang bertanggungjawab,ANIH Berhad turut komited untuk menyokong segala usaha meningkatkan tahap sosio-ekonomi masyarakat setempat khususnya masyarakat di sepanjang lebuh raya kendaliannya.

“Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa sejak penubuhannya, ANIH Berhad telah berjaya membantu meningkatkan aktiviti ekonomi di sepanjang lebuh raya, khususnya melalui penglibatan secara langsung ahli komuniti jajaran kami dalam aktiviti perniagaan, terutamanya sebagai penggerai di RSA dan awam kami.

Gerai-gerai di lebuhraya kami dikendalikan 100 peratus oleh pengusaha masyarakat setempat, katanya.

ANIH Berhad akan terus meneroka peluang untuk menyokong perniagaan komuniti tempatan dan bekerjasama dengan pemegang taruh kami dalam mewujudkan impak positif dalam komuniti jajaran kami dan menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan masyarakat.

Turut serta pada majlis tersebut, Persatuan Penggerai Genting-Sempah yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan membayar zakat perniagaan mereka secara kolektif. – MalaysiaGazette