Peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri, Mohamed Haniff Khatri Abdulla

KUALA LUMPUR – Tuntutan saman berkaitan yuran guaman tertunggak bernilai RM12.5 juta yang difailkan oleh peguam Mohamed Haniff Katri terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibatalkan mahkamah rayuan.

Ini kerana Mohamed Haniff yang menyaman Bersatu dan tiga pemimpin parti itu bertindak menarik balik rayuan penghakiman ringkas tersebut hari ini.

Sepatutnya rayuan itu mula didengar hari ini namun pemohon bertindak menarik kembali permohonan tersebut, menyebabkan rayuan telah dibatalkan oleh mahkamah mengikut Peraturan 9(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Notis untuk tidak meneruskan rayuan difailkan minggu lalu.

Mohamed Haniff juga telah mengesahkan perkara itu kepada media hari ini.

Sebelum ini, tuntutan saman Mohamed Haniff telah dijadualkan untuk perbicaraan penuh pada Mac susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir menolak permohonan untuk penghakiman terus dengan kos RM3,000.

Mohamed Hanif menerusi penyataan tuntutannya, mendakwa tuntutan berkenaan untuk khidmat guaman diberikannya sebelum Bersatu ditubuhkan sehingga parti itu menarik diri daripada Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya menyertai Perikatan Nasional (PN).

Antara khidmat didakwa diberikan Mohamed Haniff kepada parti itu adalah perkara berkaitan pendaftarannya dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), menguruskan kes mahkamah bagi pihak parti dan isu pembabitan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Khidmat guamannya dihentikan pada 24 Februari 2020 selepas ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu ketika itu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan membawa kepada pembentukan PN yang merampas kuasa daripada PH.

Mohamed Haniff memohon tuntutan bagi khidmat guamannya kepada Bersatu yang berakhir pada 24 Februari 2020. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast