Dr. Shahimi Mohtar dan Xavier Rajot selepas menandangani dokumen MoU baru-baru ini.

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Montpellier Business School (MBS), Perancis di Balai Tamu, kelmarin.

UUM diwakili oleh Yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) manakala Montpellier Business School (MBS), Perancis pula diwakili oleh ‘Director, International Academic Partnerships, MBS, Xavier Rajot.

Shahimi berkata, memiliki dua ijazah daripada universiti tempatan dan antarabangsa boleh meningkatkan lagi kebolehpasaran dan nilai tambah graduan.

Pelaksanaan program Dwi Ijazah ini akan memberi nilai tambah kepada pelajar dari segi pengiktirafan dan kebolehpasaran di samping meningkatkan kualiti program pengajian ijazah sarjana muda di UUM dan MBS.

“Graduan yang dihasilkan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja bukan sahaja di peringkat tempatan malah di peringkat global. Secara keseluruhannya, mengikuti program dwi ijazah boleh menawarkan pelbagai peluang rangkaian yang boleh memberi manfaat kepada graduan kami sepanjang kerjaya mereka.

“Dengan memanfaatkan peluang ini, graduan boleh mengembangkan rangkaian mereka, belajar daripada pemimpin industri, dan meningkatkan prospek pekerjaan mereka,” ujarnya pada Majlis Menandatangani MoA UUM-MBS.

Jelasnya, UUM dan MBS mempunyai objektif untuk mewujudkan rangka kerja bagi program pertukaran pelajar di peringkat sarjana muda yang menyokong promosi pembangunan menyeluruh pelajar.

Sementara itu, Director, International Academic Partnerships, MBS, Xavier Rajot menyifatkan kerjasama ini amat penting yang menjadi satu simbolik dan pencapaian kepada kedua-dua pihak yang membantu mencapai matlamat bersama.

Menerusi MoA ini, UUM menawarkan program ‘Bachelor of International Business Management’ (BIBM) manakala MBS, ‘Bachelor of International Business Administration’ (BIBA).

MBS meraikan kerjasama yang terjalin dengan UUM untuk berkongsi aspirasi dan sedia melebarkan kerjasama akademik demi manfaat bersama.

Beliau optimis dengan kemampuan yang dimiliki UUM memandangkan banyak peluang yang menarik perhatian untuk melebarkan kerjasama akademik. – MalaysiaGazette